Skip to main
Logo Malaysiakini

Hattan 'kena bahan' gara-gara 'sekolahkan' pembaca berita

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penyanyi otai Hattan menerima kecaman warga maya gara-gara tindakannya 'menyekolahkan' seorang pembaca berita ketika satu sesi temubual telefon yang disiarkan secara langsung.

Ketika itu, Hattan ditanya oleh pembaca berita Astro Awani tersebut mengenai pemergian vokalis kumpulan XPDC, Mael atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim.

Hattan diminta untuk berkongsi pengalamannya mengenai vokalis berkenaan.

Menjawab soalan pemberita yang bertanya tentang lagu-lagu dinyanyikan Meal memberi kesan mendalam kepada pendengar, Hattan bertanyakan pembaca berita itu apakah dia mengetahui tentang sejarah pembikinan lagu berkenaan.

"You buat kajian ke tak buat kajian ni... Dia bukan Mael yang tulis lirik, yang banyak buat lirik untuk XPDC Allahyarham jugak siapa dia kalau you tahu," soal Hattan kepada pembaca berita itu.

Hattan kemudian menjelaskan banyak lirik XPDC merupakan nukilan Allahyarham JS Kevin (Zul Adnan Mohd Razali).

"Apa ni, you panggil orang yang tahu 'interview' saya lah.

“Apalah you, tak buat 'homework' ke 'interview' pasal Mael," tambah Hattan lagi yang seolah-olah tidak berpuas hati dengan jawapan pembaca berita berkenaan.

‘Kalau pemberita tahu tak payah tanya dia’

Selepas pembaca berita berkenaan mengucapkan terima kasih kerana memberi sedikit ucapan takziah diatas pemergian Allahyarham Mael, panggilan telefon dengan Hattan terputus.

Rata-rata netizen menyuarakan rasa tidak senang dengan tindakan Hattan yang menyoal jika pembaca berita berkenaan tidak membuat penyeledikan terlebih dulu sebelum bertanyakan soalan kepadanya.

Pemilik akaun Facebook, Izham Syafik menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Hattan itu.

"Dah namo pon live betul-betul lah tahulah XPDC ni ramai orang sanjung lagu lagu dia tapi kalau dah sampai nak jatuhkan air muka orang melampau lah dah orang tak tau nak buat cemano lagi?

"Buatnya task diberi last minit baca brita pasal XPDC macam mana budak tu nak catch up," tulisnya di ruangan komen mengulas video yang tular itu.

Pengguna akaun Rifqy Haris turut mengkritik Hattan yang disifatkannya tidak wajar berbuat demikian kepada pembaca berita berkenaan.

"Kalau pembaca berita tu tau semua payah nak call tanyalah.

"Baik dia sampaikan sendiri je," tulisnya di Facebook.

Tinjauan di ruangan Instagram Hattan juga turut dipenuhi komen netizen yang menyelar tindakannya kerana dikatakan menjatuhkan air muka pembaca berita terbabit.

Mereka juga menasihati Hattan supaya tidak terlalu ‘kekwat’ (cakap besar lagak diva) kerana tidak semua orang mengetahui tentang industri muzik dengan mendalam.

"Apa benda ni, menegur pun jangan sampai memalukan, duduk dalam industri dah lama tapi tak professional langsung, orang panggil interview tu pun satu penghormatan, acahlah lu," tulis pemilik akaun Instagram hilsiperiperi.