Skip to main
Logo Malaysiakini

Persatuan wartawan gesa Hattan mohon maaf

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kumpulan wartawan menggesa penyanyi Hattan memohon maaf berhubung kenyataannya ketika temu bual televisyen semalam.

Dalam kenyataan media hari ini, Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) menyifatkan tindakan Hattan tidak profesional dan berbaur hinaan terhadap penyampai berita berkenaan.

"Sikap tidak hormat ditunjukkan Hattan itu, turut mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan pengamal media khususnya kumpulan wartawan, selain dikritik secara terbuka orang ramai di media sosial.

"Mengambil kira status beliau sebagai individu terkenal dan artis senior negara, Hattan wajar mengambil tanggungjawab terhadap reaksi balas daripada kalangan wartawan-wartawan dan orang ramai di media sosial," kata kenyataan yang dikeluarkan Presiden GKMM Mohamad Fauzi Ishak.

Persatuan wartawan Gerakan Media Merdeka (Geramm) yang berkongsi kekesalan sama berkata tindakan Hattan memutuskan talian telefon sebelum selesai wawancara dan tanpa pertimbangan terhadap kesan kepada wartawan berkenaan, adalah jelas tidak mencerminkan sikap profesional seorang artis senior.

"Apatah lagi bahasa yang digunakan boleh dianggap memperlekeh atau merendahkan wartawan bertugas.

"Geramm berpandangan mana-mana individu yang ditemuramah boleh lebih menjaga adab sesama manusia, kecuali jika memang selesa berlagak agak biadab," kata persatuan wartawan itu dalam kenyataan berasingan.

Geramm mengingatkan bahawa walaupun mungkin sesetengah pertanyaan dianggap 'dangkal' atau 'tak buat homework', ada banyak pertimbangan telah dibuat untuk sebarang sesi wawancara secara langsung.

"Geramm juga ingin menyampaikan solidariti kami bersama wartawan terbabit dan pasukan belakang tabir yang kekal tenang menghadapi hal yang tidak dijangka.

"Menghadapi kerenah artis atau mana-mana individu yang memandang rendah kepada wartawan adalah hal biasa.

“Sebarang permohonan maaf, walaupun tidak diminta, hanya akan lebih mencerminkan sifat sebenar individu berkenaan, sama ada ikhlas menerima teguran atau sebaliknya," kata Geramm lagi.

Hattan menerima kecaman warga maya gara-gara tindakannya menempelak seorang pembaca berita ketika satu sesi temubual telefon yang disiarkan secara langsung.

Ketika itu, Hattan ditanya oleh pembaca berita Astro Awani tersebut mengenai pemergian vokalis kumpulan XPDC, Mael atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim.

Hattan diminta untuk berkongsi pengalamannya mengenai vokalis berkenaan.

Bagaimanapun, Hattan mempertikaikan pengetahuan pembaca berita itu mengenai penulis lirik XPDC.

"You buat kajian ke tak buat kajian ni... Dia bukan Mael yang tulis lirik, yang banyak buat lirik untuk XPDC Allahyarham juga siapa dia kalau you tahu," soal Hattan kepada pembaca berita itu.

Hattan kemudian menjelaskan banyak lirik XPDC merupakan nukilan Allahyarham JS Kevin (Zul Adnan Mohd Razali).

"Apa ni, you panggil orang yang tahu interview saya lah.

“Apalah you, tak buat homework ke interview pasal Mael," tambah Hattan lagi.

Sementara itu, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) turut menggesa penyanyi Biso Bonar itu memohon maaf.

Presiden NUJ, Farah Marshita Abdul Patah berkata, tindakan memalukan petugas media sama ada artis, ahli politik mahupun menteri harus dihentikan segera.

"Pendirian NUJ untuk saling menghormati, tidak kiralah senior mahupun profesion.

"Setiap individu mempunyai hak dihormati dan ditegur dengan baik sekiranya melakukan kesalahan.

"Dalam isu membabitkan penyampai berita Astro Awani, NUJ menggesa Hattan bertindak lebih profesional sekiranya tidak mahu menjawab soalan diajukan.

"Beliau boleh menolak pertanyaan dengan sopan," katanya seperti dilapor BH Online.