Skip to main
Logo Malaysiakini

Penerbit Sumpahan Jerunei yakin ruang kolaborasi dengan syarikat luar cerah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penerbit filem Sumpahan Jerunei - Produksi Seni Duapuluh Duapuluh - dikatakan sedang diintai beberapa syarikat luar selepas naskhah mereka itu menembusi Festival Filem Antarabangsa Julien Dubuque 2023 di Dubuque, Iowa, AS baru-baru ini.

Pengarah eksekutifnya, Wendy Wong, berkata melalui penyertaan dalam festival antarabangsa selama empat hari bermula 26 April lalu itu, pihaknya mendapat maklum balas positif untuk menjalin dan memanfaatkan kolaborasi menghasilkan filem baru.

“Kami berpeluang berkenalan dengan beberapa penerbit seluruh dunia. Antara yang menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan kami adalah syarikat produksi dari Los Angeles, Ukraine (yang bertapak di Chicago) dan Perancis.

“Mereka juga meluahkan keinginan untuk datang dan menjalani penggambaran di Malaysia serta menyaksikan keindahan negara ini selepas mendapat tahu mengenai kos penghasilan filem yang berpatutan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut Wendy, dia bersama seorang lagi rakan kongsinya, Nancy Foo, yang turut hadir ke festival berkenaan berpeluang menimba ilmu dalam aspek penerbitan filem di AS.

Katanya, genre yang berjaya menarik minat penonton antarabangsa adalah naskhah yang dapat menjentik emosi dan perasaan ramai.

“Jadi, dari situ kami berpeluang untuk belajar mengapa sesebuah filem berpeluang terpilih sebagai karya yang terbaik dan ilmu ini boleh dimanfaatkan untuk menyertai pertandingan pada masa depan.

“Selain itu, mengambil bahagian dalam festival filem antarabangsa juga secara tak langsung membantu promosi filem kerana kami dapat mengurangkan kos untuk pemasaran,” katanya.

Sumpahan Jerunei yang mendapat arahan Jason Chong dan memaparkan sejarah kaum Melanau berkaitan adat pengebumian itu selepas ini bakal menyertai Festival Filem Cannes di Perancis dan festival filem di Korea Selatan.

Filem dijayakan barisan pelakon handalan seperti Bront Palarae, Amerul Affendi, Syafie Naswip, Ruminah Sidek, Tony Eusoff, Uqasha Senrose dan Daiyan Trisha itu dijadual menjengah pawagam tempatan pada penghujung Julai ini.

Menurut Wendy, untuk memudahkan sesebuah filem difahami oleh masyarakat luar semasa festival, pihak penerbit juga mesti menyediakan sari kata dalam bahasa Inggeris selain mencipta kandungan poster yang ringkas tetapi boleh mendatangkan kesan yang kuat pada penonton.

Bagaimanapun, Wendy menjelaskan, Sumpahan Jerunei tidak dapat ditayangkan di AS berikutan terikat perjanjian dengan Festival Filem Antarabangsa Asia (AIFFA) untuk tayangan perdana dunia yang dijangka berlangsung Julai atau Sep depan.

“Walaupun terpilih untuk sesi tayangan perdana di Dubuque, kami terpaksa membuat pertimbangan untuk tidak menayangkan filem itu di sana sebaliknya hadir memenuhi acara itu sebagai panel melalui sesi coffee talk.

“Selepas menghantar penyertaan untuk Festival Filem antarabangsa Julien Dubuque, baru kami terima jemputan daripada AIFFA,” katanya.