Skip to main
Logo Malaysiakini

Undangan beraya ND Lala disambut sinis

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Undangan pelakon dan penyanyi terkenal era 1980-an, ND Lala, untuk hadir ke majlis hari raya eksklusif pada 6 Mei ini di Bukit Jalil, Kuala Lumpur tidak disambut baik oleh orang awam, bahkan bertukar menjadi kecaman.

Pada perkongsian di Instagram itu, segelintir netizen ‘menasihatkan’ penyanyi itu supaya pulang berhari raya bersama keluarganya.

“Kau balik beraya dan luangkan masa dengan anak dan isteri pertama lebih bagus pakcik oi. Bawa bertaubatlah dah tua-tua ini. Jangan ikutkan nafsu semata-mata,” kata seorang pengguna media sosial.

Melalui video undangan tersebut ND Lala mempelawa lapan individu bertuah untuk dibimbing menerusi program keusahawanan yang disediakan.

Katanya, dia mencari lapan orang untuk dibimbing hingga berjaya.

“Saya ingin menjemput anda menyertai program eksklusif Ver-Raya. Saya ingin cari lapan orang dalam media sosial untuk dibimbing hingga berjaya melalui sesi penerangan secara percuma.

“Syaratnya berumur 18 tahun ke atas dan terdapat sesi konsultasi perniagaan, cabutan bertuah dan peluang keusahawanan,” katanya.

Sebenarnya agak lama ND Lala tidak memuat naik sebarang perkongsian di Instagram miliknya. Kali terakhir penyanyi Aku Yang Masih Setia itu berbuat demikian adalah pada 19 Jan lalu.

Ia susulan kontroversi dia sudah bernikah lagi dengan seorang wanita yang jauh lebih muda daripada isterinya, Fauziah Sarman.

Terdahulu, Fauziah mendedahkan wajah seorang wanita di Instagram sekali gus mengesahkan individu itu sudah menjadi madunya.

Difahamkan, wanita berkenaan bukanlah asing bagi keluarga ND Lala. Dia dikatakan pernah belajar bersama anak ND Lala, Shila, di Sekolah Menengah Kebangsaan Setapak.