Skip to main
Logo Malaysiakini

Ridzuan Hashim pengsan sebelum hembuskan nafas terakhir

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pelakon terkenal tanah air Ridzuan Hashim telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 2 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur.

Melalui ucapan takziah kepada keluarga allahyarham, Setiausaha Agung Seniman Hafiz Nafiah memaklumkan arwah yang berusia 62 tahun pengsan di rumahnya pada jam 11 pagi tadi sebelum dikejarkan ke hospital.

Arwah juga pernah memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik FFM ke 9 menerusi filem Hati Bukan Kristal, pelakon lelaki pembantu terbaik FFM 13 untuk filem Ghazal Untuk Rabiah (pencalonan) serta beberapa pencalonan lain lagi.

“Jenazah beliau kini berada di Hospital Kuala Lumpur untuk urusan post mortem. Jenazah akan dibawa ke Masjid Dusun Tua Batu 16 setelah selesai urusan di HKL.

“Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua Hulu Langat, masa akan dimaklumkan kemudian.

“Segala maklumat lanjut akan Seniman dimaklumkan dari masa ke semasa,” kata Hafiz pada satu kenyataan hari ini.

Ridzuan dilahirkan pada 13 Ogos 1961 di Kuala Lumpur, Ridzuan Hashim berkahwin dengan aktres Didie Alias pada tahun 1991 dan dikurniakan 5 orang anak. Perkahwinan itu bagaimanapun berakhir pada 2002.

Pada masa sama, Didie Alias turut berkongsi berita tersebut melalui akaun peribadi Instagramnya.

Antara filem lakonannya adalah Antara Dua Hati 1988 adalah filem pertamanya, Hati Bukan Kristal 1990, Lurah Dendam 1996, Ghazal Untuk Rabiah 1997, Seri Dewi Malam 2001, Cinta 200 Ela 2002, SH3 2004, Qaisy & Laila 2005, 1957: Hati Malaya 2007, Dunia Baru The Movie 2008.

Pelakon itu turut membintangi filem KL Gangster.