Skip to main
Logo Malaysiakini

Puteri Sarah fail nusyuz balas terhadap Syamsul

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pelakon Puteri Sarah Liyana turut memfailkan tuntutan nusyuz terhadap suaminya, Syamsul Yusof, selepas pengarah sensasi itu berbuat perkara sama sebelum ini.

Peguam syarie mewakili aktres itu, Akberdin Abdul Kader, berkata tuntutan tersebut difailkan Puteri Sarah sebelum prosiding bermula di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pagi tadi.

“Kami sudah memfailkan tuntutan pembelaan nusyuz yang difailkan Syamsul dan pada masa sama pihak kami juga memfailkan tuntutan balas iaitu nusyuz terhadap Syamsul,” katanya yang dipetik Kosmo.

Menurut peguam itu, tuntutan nusyuz yang difailkan Puteri Sarah terhadap Syamsul antaranya adalah atas sikap tidak bertanggungjawab, namun terma-terma secara terperinci tidak didedahkan.

Seorang suami boleh disabitkan dengan nusyuz sekiranya dia mengabaikan nafkah zahir, batin, menyuruh isteri melakukan perkara yang bertentangan hukum syarak, memukul isteri dan tidak berlaku adil (bagi yang berpoligami).

Bagaimanapun, penalti atau hukuman yang boleh dikenakan kepada suami yang nusyuz bergantung kepada jenis kesalahan telah dilakukan.

Akberdin Abdul Kader

Akberdin juga memaklumkan Puteri Sarah, 37, telah memfailkan pembelaan terhadap tuntutan nusyuz yang difailkan Syamsul.

Puteri Sarah atau nama penuhnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin selaku defendan telah memasukkan pernyataan pembelaan pada 21 Mac selepas tuntutan itu diterima pada 24 Mac lalu.

Syamsul berkata terdapat beberapa alasan mengapa dia memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah. Antaranya, isteri pertamanya itu didakwa masih berhubung dengan bekas kekasihnya yang kini berstatus suami orang.

Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Syamsul, Azmi Mohd Rais, mengesahkan perkara berkenaan.

Menurut Azmi, dokumen berhubung tuntutan nusyuz yang difailkan Puteri Sarah baru diperolehi, justeru, pihaknya perlu meneliti sebelum memfailkan pembelaan terhadap tuntutan itu.

Semasa prosiding, hakim syarie Maizatul Aliza Chee kemudian menetapkan 14 Jun ini bagi sebutan semula kes.

Pada prosiding hari ini, Syamsul, 38, dan Puteri Sarah tidak hadir dan hanya diwakili peguam masing-masing.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 2014. Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua anak iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Pengarah filem Munafik itu membuat pendedahan di media sosial pada 6 Jan lalu bahawa dia telah bernikah kali kedua dengan anak pelakon veteran, Kazar Saisi di Thailand.