Skip to main
Logo Malaysiakini

Filem Anwar: The Untold Story hakis imej negatif - Wan Azizah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Walaupun hanya sedikit bingkisan kisah hidup dipaparkan, Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan filem Anwar: The Untold Story boleh menangkis imej buruk yang terpalit selama 23 tahun pada Anwar Ibrahim dan mereka sekeluarga.

Kata Wan Azizah, dia bersyukur kerana pengarah terkenal Indonesia, Viva Westi, tergerak hati untuk menggarap filem berkisahkan perjalanan politik perdana menteri itu yang pernah menjadi banduan suatu ketika dulu.

“Ini bukan satu dokumentari, tapi ia tetap memberi sedikit gambaran bagaimana perjalanan hidup kami dulu.

“Dan karya ini juga boleh menangkis imej Anwar selama 23 tahun yang dipaparkan sebagai penjenayah dan banduan tak mempunyai moral yang baik.

“Saya percaya naskhah ini boleh tangkis semua itu, alhamdulillah,” katanya.

Wan Azizah dan Anwar hadir ke sesi tayangan filem Anwar: The Untold Story di sebuah kompleks beli-belah di ibu kota malam tadi.

Filem berlatarkan waktu antara 1993 dan 1998 itu menceritakan perjalanan Anwar sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan serta perjuangannya menentang amalan rasuah.

Filem terbitan Bianglala Entertainment yang menelan belanja sebanyak RM10 juta itu akan ditayangkan kepada umum di pawagam seluruh negara bermula 18 Mei ini.

Siti Nurhaliza merupakan penyanyi lagu runut bunyi filem berkenaan yang berjudul Menjaga Cintamu hasil ciptaan Andi Rianto dan lirik nukilan Sekar Ayu Asmara.

Filem itu dibintangi pelakon seperti Farid Kamil yang memegang watak utama sebagai Anwar dan Hasnul Rahmat sebagai Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, Anwar berkata, filem garapan Viva itu mengingatkan dia dan keluarga kepada kesakitan pernah dirasai.

Menurut perdana menteri, banyak babak yang enggan dikenang lebih lama kerana ia mahu dilupakan.