Skip to main
Logo Malaysiakini

Da’i Syed, Hana tayang aksi menari untuk 'elak fitnah'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Walaupun aksi menari lagu Hindi mereka dikecam segelintir pihak, pendakwah selebriti dan penyanyi, Da’i Syed, berkata detik itu dikongsinya buat tatapan umum di media sosial untuk mengelak fitnah.

Bagi Syed, tarian yang dilakukan bersama isterinya, Hana Ismail, itu juga tidaklah begitu keterlaluan.

“Saya memilih untuk berkongsi momen bersama isteri kerana jika tak, boleh timbul fitnah. Misalnya peminat mungkin anggap kami bergaduh atau sebagainya.

“Kami juga mahu ingat tentang kenangan. Saya mahu cipta banyak kenangan bersama isteri, jadi kami pilih untuk kongsikan saja.

"Apa tanggapan orang lain pun terserah pada mereka kerana kami yakin kenangan itu tak berlebihan,” katanya.

Justeru, pemilik nama penuh Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful Jamalullail itu mengingatkan orang ramai untuk bersangka baik, sesuai dengan sikap pasangan itu yang mahu bersangka baik kepada semua orang.

“Kami terima teguran untuk memperbaiki kesilapan kerana sedar hanya manusia biasa tapi jangan sampai mencerca, kasihan isteri saya.

“Isteri saya dikecam kerana orang anggap dia ustazah tapi sebenarnya bukan. Hana juga dalam proses memperbaiki diri dan dia pun bukan belajar di Mesir (jurusan agama),” katanya.

Syed, 37, ditemui pada majlis rumah terbuka anjuran Awesome TV dan MFI Group di sebuah hotel di ibu kota semalam.

Terdahulu dia mengundang perhatian umum kerana sering berkongsi video menari bersama Hana - yang juga seorang personaliti televisyen - dengan iringan lagu Hindi.

Netizen antaranya menyelar perbuatan itu kerana beranggapan ia tidak kena dengan imej agama dibawakan Syed sebagai pendakwah mahupun Hana yang bertudung.

Sementara itu, Hana berkata, perkongsian aksi mereka menari cuma sebagai sebahagian daripada kaedah untuk menarik perhatian orang ramai terhadap kandungan bakal mereka paparkan di media sosial selepas ini.

Menurut Hana, dia dan suaminya dilantik menjadi duta Malaysia for Syria bagi membantu pelarian di negara yang dilanda kekacauan tersebut.

“Ini cuma proses masyarakat untuk mengenali kami. Alhamdulillah kalau ada orang anggap kami ikon Muslim atau Muslimah doakan kami ke arah itu.

“Akan datang kebaikan pada apa kami usahakan sebab ada misi untuk tolong NGO membantu pelarian di Syria, insya-Allah.

“Ini kandungan untuk tarik orang ramai ke arah perkara positif, jika kongsi benda biasa orang tak berminat. Kami anggap ia proses seeding untuk promosi berkaitan misi yang akan kami muat naik di media sosial minggu depan,” katanya.