Skip to main
Logo Malaysiakini

Trauma tapi Kamal tetap nak tahu jika ada dalang di sebalik serangan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Walaupun masih trauma untuk ke Singapura, pelakon Kamal Adli menyatakan kesediaannya untuk naik ke mahkamah bagi memberi keterangan berhubung kes serangan terhadapnya baru-baru ini.

Kamal berkata, keinginan ingin mengetahui punca individu terbabit mencederakannya hingga nyaris maut lebih besar berbanding trauma yang dialami.

“Kalau diberi pilihan saya memang tak mahu pergi ke sana buat sementara ini kerana masih trauma.

“Tapi kalau diperlukan untuk ke sana oleh pihak berkuasa Singapura, saya akan beri kerjasama. Sebagai mangsa saya memang mahu pelaku itu diadili dengan hukuman setimpal.

“Saya pun nak tanya pada dia, kenapa menyerang saya? Saya difahamkan individu terbabit dihantar oleh seseorang yang mempunyai masalah peribadi dengan saya,” katanya.

Kamal berkata demikian pada pelancaran program terbitan Astro, Mega Spontan, di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Mega Spontan akan berlangsung selama lapan minggu dan bersiaran secara langsung dari Panggung Percubaan, Universiti Putra Malaysia, Serdang mulai 19 Mei, setiap Jumaat, jam 9.00 malam eksklusif di Astro Warna.

Mengulas berhubung tindakan isterinya, Uqasha Senrose yang mengeluarkan pelbagai kenyataan di media sosial, Kamal, 37, berkata perkara itu berlaku di luar kawalannya.

Menurut Kamal, pelbagai maklumat mengenai pelaku diterima hingga mencetuskan panik terhadap isterinya.

“Saya tak salahkan Uqasha kerana mendedahkan pelbagai perkara dalam media sosial kerana ketika itu dia tak tahu apa yang perlu dibuat,” katanya.

Pada 12 Mac lalu polis Singapura menahan seorang lelaki sebagai suspek menyerang Kamal dengan baton di 1 Expo Drive.

Lelaki berusia 33 tahun itu kemudian didakwa di mahkamah Singapura pada dua hari kemudian.

Jika sabit kesalahan lelaki itu boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan atau mana-mana gabungan hukuman itu.

Kamal terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura akibat insiden tersebut.

Buat masa ini, Kamal menegaskan dia tidak memerlukan pengawal peribadi kerana sentiasa diiringi sama ada rakan atau kenalan yang boleh diharapkan jika ada keadaan memerlukan.

“Saya yakin jika di negara ini tak perlu risau sampai perlu pasang pengawal peribadi tapi saya sentiasa berteman dan tak keseorangan.

“Singapura pun tak bahaya sebab sebelum saya sering ke sana tak ada masalah. Yang ini saya dah banyak kali cakap.

“Cuma saya nak ingatkan kawan-kawan artis lain agar berhati-hati terutama yang sedang popular,” katanya.