Skip to main
Logo Malaysiakini

'Rahsia' suara mantap: Ramli Sarip tak pernah minum arak

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

“Bernasib baik” kerana tidak pernah menyentuh bir atau minuman keras seumur hidup menjadi 'rahsia' Ramli Sarip mampu mengekalkan suara mantap walaupun sudah berusia lebih 70 tahun.

Kata penyanyi diberi julukan Papa Rock itu, dia sentiasa berpegang teguh pada pesan ayahnya yang sering mengingatkan agar menjaga diri dan batasan.

“Maaf cakap, saya bukan baik, tapi nasib baik. Saya kerja di kelab malam sejak berusia belasan tahun tapi satu bir pun tak pernah rasa. Rokok pun tak pernah hisap.

“Pada masa itu, kerja dekat bar ada macam-macam godaan. Memang perempuan seksi minum arak bersepah-sepah.

“Saya selalu ingat pesan ayah sebab saya budak kampung mencari kerja di bandar," katanya.

Menurut penyanyi Perjalanan Hidup itu dia menganggap doa daripada ibu dan ayah sangat penting dalam kehidupan seseorang.

Justeru itulah yang menjadi pegangannya setiap masa.

"Itu juga yang selalu saya pesan kepada generasi muda - jika masih ada orang tua, berbaktilah kepada mereka,” katanya.

Sementara itu Ramli yang juga vokalis kumpulan Sweet Charity menambah pada kebiasaannya dia boleh bertahan tanpa minum untuk persembahan yang berlangsung selama 50 minit.

Pun begitu Ramli menegaskan dia tetap perlu membuat persediaan sewajarnya.

"Kita kena 'sediakan payung sebelum hujan' iaitu untuk persembahan selama lebih dua jam, saya perlu mantapkan minda, tak boleh makan sembarangan kerana badan kita bukan mesin yang boleh diletak bateri.

“Apabila bersama band yang kuat, kita kena mampu tarik suara supaya orang lebih terhibur," katanya.

Dia ditemui selepas konsert Syair Timur di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) KLCC, kelmarin.

Pada persembahan kira-kira dua jam itu, Ramli yang diiringi pemuzik The Soul Journey memberikan aksi menghiburkan, bertenaga dan mantap.

Pun begitu dia menganggap persembahan berkenaan dirasakan seolah-olah terlalu singkat kerana ada lagu lain yang tidak dapat dipersembahkan bersama.

“Saya bersyukur diberikan kesempatan untuk buat persembahan di DFP, ia lambang antarabangsa, rasa dihargai.

“Saya yakin, DFP sentiasa buat pemilihan terbaik untuk kekal hebat daripada segi persembahan dan populariti artis.

“Ini kalau tak dijaga nilainya akan musnah, sebab jika ada duit sesiapa boleh masuk (buat persembahan) tapi pesanan nilai itu kurang kerana mereka boleh bayar saja,” katanya.