Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas bayaran 'tersangkut' Atu yakin Allah utus rezeki dari jalan lain

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pelawak Atu Zero mendakwa sehingga hari ini dia masih belum menerima baki bayaran hasil kerjanya yang berjumlah RM29,800 daripada Awesome TV.

Katanya bayaran tersebut antaranya adalah untuk pembabitannya dalam program Awesome Raja Lawak yang disiapkan pada 22 Nov tahun lalu, selain sitkom Housemate Kiriman Tuhan pada 20 Jan tahun ini.

Walaupun mengakui kecewa, Atu - atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif - berkata dia belum terfikir untuk mengambil tindakan undang-undang.

Hal itu kerana, kata Atu, walaupun dia boleh memulakan langkah ke mahkamah, proses tersebut tetap memerlukan modal, sekali gus memberikan beban kewangan kepadanya.

“Saya tak bercadang untuk ambil tindakan undang-undang kerana sedar saya ini bukan sesiapa.

"Kalau saman, nanti saya nak kena bayar peguam, kena turun naik mahkamah... lagi banyak kosnya,” katanya kepada Malaysiakini.

Atu juga mendakwa Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Adam Ilyas, meletakkan syarat agar dia muncul di pejabat syarikat terbabit serta meminta maaf terlebih dulu sebelum bayaran dikeluarkan.

"Pun begitu saya yakin kalau berbuat demikian pun belum tentu saya dapat bayaran penuh. Saya dah pernah datang ke pejabatnya sebelum ini," kata Atu.

Tak kisah tak diundang

Dia juga mempersoalkan kewajaran 'dihukum' kerana bersuara menyatakan pandangan serta menuntut haknya mendapatkan bayaran.

Dalam keadaan begitu, Atu berkata, dia tetap bersabar dan percaya rezekinya tetap ada melalui jalan yang lain.

"Saya percaya kepada rezeki Allah dan alhamdulillah, sekarang saya terlibat dengan program Super Spontan dan kewangan saya kembali stabil.

"Walaupun siaran langsung program berkenaan belum bermula, saya dah terima bayaran," katanya.

Tambah Atu, 31, dia dan isteri merangkap pengurusnya, Shafeeqa Johari, hanya mahu mencari rezeki yang halal, namun tidak menyangka boleh berdepan dengan isu bayaran dengan sesebuah stesen televisyen.

“Kami mencari rezeki yang halal, rezeki yang disalurkan oleh Allah... tapi ada hamba Allah 'tahan' juga.

"Tak apa, insya-Allah ada ramai lagi hamba Allah yang nak membantu kami,” katanya lagi.

Terdahulu, Malaysiakini menyiarkan luahan Atu berhubung isu bayaran yang belum diterimanya dan menyatakan tidak mungkin dia boleh menghalalkan wang tersebut kerana jumlahnya hampir mencecah RM30,000.

Walaupun wangnya belum dilunaskan, Atu tetap bersyukur apabila keluh-kesahnya berhubung isu itu turut membantu rakan artis lain untuk menerima bayaran hasil titik peluh mereka daripada syarikat terbabit.

Atu turut mengulas majlis rumah terbuka dianjurkan Awesome TV buat pihak media dan artis naungannya yang diadakan di sebuah hotel baru-baru ini.

Katanya, dia tidak marah walaupun tidak menerima sebarang undangan.

“Mungkin dia nak tunjuk mereka ada duit atau kaya, tapi itu hak dia. Kami hanya minta hak kami yang belum mereka lunaskan.

“Lebih baik kami tak terima undangan dan tak perlu hadirkan diri, tak mahu nanti jadi yang bukan-bukan depan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Awesome TV berkata, stesen itu tidak bercadang untuk memberi sebarang kenyataan berhubung isu dibangkitkan Atu memandangkan mereka sudah berbincang dengan pelawak terbabit sebelum ini.