Skip to main
Logo Malaysiakini

Pernah dimarah tanya soalan sensitif, Amir janji lebih berhati-hati

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Amir Raja Lawak berjanji untuk lebih berhati-hati ketika mengemukakan sebarang soalan susulan insiden dia dimarahi seorang selebriti dalam program Super Spontan yang dikendalikannya sebelum ini.

Walaupun sudah lama berlaku, pelawak lebih dikenali dengan gelaran Amirreka itu baru mendedahkan peristiwa tersebut ketika ditemui baru-baru ini.

“Seorang artis hantar mesej pesanan ringkas menyatakan dia kurang senang dengan soalan saya sebaik saja program berkenaan berakhir.

“Saya terima teguran itu dan selepas ini saya cuba berhati-hati supaya soalan diajukan tak menyinggung mana-mana pihak lagi,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran program Mega Spontan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Amir atau nama penuhnya Mohammad Amirullah Azmi berharap mana-mana selebriti pada masa sama mungkin boleh cuba memahami tugasnya sebagai pengacara.

Sebagai seseorang yang sudah mengendalikan program seumpama itu lebih dari 10 tahun, kata Amir, sudah pasti dia juga berdepan cabaran untuk memastikan dia tetap relevan sebagai penghibur.

“Biasanya saya hasilkan sendiri soalan tapi kadang-kadang dibantu oleh penulis program.

“Saya harap mereka faham kerana bertanya soalan sedemikian dah jadi tugas saya.

“Anda mungkin nampak ia mudah tapi sebenarnya bukan senang untuk saya hasilkan soalan-soalan yang berbentuk hiburan tapi pada masa yang sama ia berisiko untuk dibenci oleh pihak lain,” katanya.