Skip to main
Logo Malaysiakini

Andmesh cipta lagu hargai bekas kekasih tiap kali gagal bercinta

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Meskipun percintaannya pernah putus di tengah jalan, penyanyi terkenal Indonesia, Andmesh Kamaleng, tidak pernah menoktahkan pengalamannya itu dengan dendam.

Malah, Andmesh mengambil sikap positif dan menunjukkan penghargaan atas pengalaman itu kepada bekas kekasih yang pernah hadir dalam hidupnya melalui lagu.

“Tiada dendam. Saya mengaku pernah putus cinta beberapa kali. Semua lagu saya hasilkan berkait rapat dengan hidup saya. Dan sebahagian daripadanya adalah dari kisah realiti dengan bekas kekasih.

“Saya pernah bercinta dengan seseorang namun kami berpisah kerana bapanya tak ingin jodohkan anaknya dengan lelaki yang berbeza agama.

“Saya pasrah, dan luahkan perasaan melalui lagu berjudul Kumau Dia.

“Setiap kali putus cinta, saya berterima kasih kepada orang yang pernah singgah di hati kerana mereka mengajar saya untuk jadi lebih baik,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman konsert Andmesh Kamaleng Live di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Bagaimanapun, bagi menghormati mereka, kata Andmesh atau nama sebenarnya Jeandmesh Antonio Kamaleng, dia terlebih dulu meminta izin untuk mencipta lagu tersebut.

Untuk rekod, Andmesh Kamaleng Live yang bakal berlangsung di Plenary Hall, KLCC pada 4 Jun ini adalah konsert julung kali buat penyanyi Cinta Luar Biasa itu di negara ini.

Ditanya harapannya untuk projek mendatang itu, Andmesh, 26, berkata negara ini menjadi antara destinasi konsert impiannya.

Namun, Andmesh akur, dia perlu mengambil masa agak lama untuk jejakkan kaki di Malaysia kerana perlu membuat banyak persiapan dari segi mental dan fizikal.

“Memang dari kecil saya pasang impian nak ke Malaysia terutama untuk melihat Kuala Lumpur. Kali pertama jejakkan kaki di sini, saya jatuh cinta dengan mi goreng mamak dan teh ais.

“Dari segi persiapan konsert, saya cuba hasilkan karya-karya matang dan penuh cerita. Saya tak mahu hadir dengan konsert tapi hanya bawa dua, tiga lagu sendiri saja.

“Sama seperti segelintir orang lain yang merasai perjalanan hidup yang berat, saya mahu kongsikan kepada penonton yang hadir pada konsert tersebut.

“Saya berharap, semoga ia dapat beri inspirasi kepada peminat,” katanya.