Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Masalah industri filem kita ialah...

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN SENI | Beberapa hari lalu, seorang teman mempelawa aku ke acara "penting" dan bakal dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), menteri, serta beberapa pegawai tertinggi dalam industri filem negara.

Menurutnya lagi sesi ketiga dialog awam (town hall) industri kreatif bersama Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil itu dirancang khusus buat penggiat seni filem yang terlalu banyak ketinggalan dan banyak menghadapi masalah.

Ajakan itu dengan pantas mengingatkan aku kepada suatu peristiwa yang pernah berlaku pada hampir 91 tahun dulu.

Pada 26 Oktober 1932, pekarangan rumah mewah milik Maxim Gorky yang biasanya tenang bertukar meriah. Rumah yang beridentitikan seni bina anggun gaya nouveau di tengah kota Moscow pada hari itu dipenuhi dengan askar dan pegawai tinggi kerajaan.

Selain dari tokoh-tokoh penting di Kremlin, terdapat juga sekitar 50 orang seniman dan sasterawan memenuhi rumah pemberian kerajaan kepada Gorky yang kini dijadikan muzium sejarah.

Acara yang menghimpunkan ramai seniman dan sasterawan bersama pegawai-pegawai tinggi kerajaan inisiatif Gorky itu tidak pula mendedahkan perihal agenda dan tujuan.

Paling menarik adalah apabila acara itu turut disertai oleh Joseph Stalin sebagai jemputan kerhormat.

Bermula dari rumah Gorky

Ternyata ia adalah suatu perancangan rapi politik bagi membina serta menyusun sebuah kanun kesenian dan kesusasteraan. Dari peristiwa itulah lahirnya kata-kata “pengarang adalah jurutera jiwa manusia” yang digunakan sebagai sebahagian daripada strategi politik membina Rusia sebagai negara industri.

Ya, jangan tak tahu. Stalin menggunakan kesenian - dan bermula dengan kesusasteraan - untuk memaju dan mengindustrikan Rusia, bukannya membuka syarikat automobil pertama negara.

Stalin menegaskan peranan seniman dan sasterawan adalah lebih penting berbanding kereta-kereta kebal yang digunakan dalam peperangan.

Bergerak dari situ - melalui seniman dan sasterawan - idea sosialisme diserap masuk menjadi suatu budaya. Anjakan dalam pola berfikir dan bekerja rakyat diubah secara radikal.

Ternyata ideologi politik dan gagasan kesenian mereka sama naik sehingga mencapai suatu takah ketinggian yang sangat boleh dibanggakan.

Agenda yang bermula dari rumah Gorky itu berjaya kerana Stalin percaya seniman harus berani serta jujur menceritakan hakikat kehidupan rakyat.

Hanya dengan kejujuran dalam menggambarkan itu sahaja maka sebuah negara sosialisme dihasilkan.

Lalu apa kaitan semua itu dengan sesi dialog awam industri kreatif bersama menteri itu?

Hal ini sengaja disebutkan kerana sememangnya ada ramai ahli politik yang acah-acah pandai dan pura-pura berminat pada seni, budaya dan sastera. Walhal di sebalik tabir hakikatnya semua itu langsung tidak mereka pedulikan.

Penggiat industri perfileman boleh saja berasa skeptikal dengan dialog awam bersama Fahmi itu kerana ia bukanlah pertama kali pernah diadakan.

Barangkali sudah berbuih-buih mulut ramai orang mengadu kepada setiap menteri yang bertukar-tukar mengikut tampuk pemerintahan itu.

Baik zaman kerajaan 1Malaysia atau zaman Malaysia Baru, era kerajaan Malaysia Prihatin mahupun Keluarga Malaysia, semuanya sama saja.

Kerajaan Madani pula setakat ini hanyalah satu lagi slogan yang belum boleh diletakkan apa-apa harapan.

Masalah terbesar kita

Masalah industri filem di negara ini bukan setakat ada kru produksi yang tidak dibayar gaji tapi dipaksa menjadi hamba.

Masalah negara ini bukan hanya kerana ketiadaan sistem royalti serta isu cetak rompak yang berleluasa di platform perkhidmatan media penstriman kandungan seperti OTT yang tiada siapa perangi.

Ia tidak hanya soal sabotaj pawagam sepertimana apa yang dibisingkan produksi filem Anwar: The Untold Story.

Masalah sebenar kita ialah tiadanya seorang CEO Finas yang bersungguh-sungguh mahu menjuarai segala isu dan yang telah lebih 30 tahun membelenggu para pekerja industri ini.

Masalah terbesar kita ialah kerana ketiadaan seorang jaguh yang mahu membawakan polisi baru yang bersesuaian dengan zaman ke parlimen untuk diperjuangkan.

Masalah kita ialah kita tidak pernah ada seorang menteri yang benar-benar percayakan kepada seni lalu bersungguh-sungguh mahu mengangkat industri filem ini sepertimana Stalin.

Bukan maksud tulisan ini bekehendakkan seorang menteri beraliran kiri yang sekomunis atau sesosialis Stalin. Akan tetapi kejaguhannya menjadikan seni dan sastera sebagai ramuan membina negara bangsa yang beridentiti itulah seharusnya dicontohi.

Sesi dialog awam bersama Menteri Komunikasi dan Digital tidak lama lagi bukanlah masalah pada orang-orang industri, sebaliknya adakah sang menteri bersungguh-sungguh mahu mengangkat semua masalah yang didedahkan nanti menjadi agenda besar kerajaan Madani?

Itulah masalah industri ini.


HARIS HAUZAH seorang lelaki selekeh yang sering dianggap peminta sedekah.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.