Skip to main
Logo Malaysiakini

Fauziah tak kecewa belum pernah genggam trofi aktres terbaik

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Yakin sepenuhnya kepada ketentuan Tuhan, pelakon senior, Fauziah Nawi, kekal berlapang dada meskipun dia tidak pernah dianugerahkan sebarang trofi aktres terbaik menjelang usianya yang hampir mencecah 70 tahun.

Kata Fauziah atau mesra disapa ibu itu, dia sedikit pun tidak pernah menyimpan rasa kecewa disebabkan takdir itu.

“Saya pernah dapat pencalonan dalam kategori pelakon wanita terbaik untuk Anugerah Skrin ke-18, tapi kalah di tangan Puteri Balqis.

“Mungkin saya belum layak atau tak cukup bagus untuk menang, sebab itu saya tak terkilan,” katanya.

Menurut pelakon Cinta Luar Biasa itu, dia berkecimpung dalam bidang lakonan semata-mata disebabkan minat, bukan didorong oleh perasaan dahagakan anugerah.

Malah katanya, dia tidak pernah meletakkan sesuatu anugerah sebagai motivasi untuk terus aktif dalam industri seni negara.

“Saya suka lakonan tapi tak pernah masuk sebab nak menang anugerah atau populariti,” katanya ketika ditemui pada sidang media teater Orang Suara Kuat! di Studio Stefani, Ampang baru-baru ini.

Teater tersebut menampilkan persembahan monolog seniwati tersohor berkenaan secara eksklusif dan dijadual dipentaskan dari 27 hingga 29 Mei ini di lokasi sama.

Untuk rekod, selepas berkecimpung dalam dunia seni selama lima dekad, Fauziah pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2018.

Dia juga pernah menerima Anugerah Sepanjang Zaman Festival Filem Malaysia ke-31 selain dipilih sebagai Tokoh Seri Angkasa, Anugerah Seri Angkasa tahun lalu.

Rezeki hak masing-masing

Tahun ini, Fauziah mendapat pencalonan bagi kategori pelakon terbaik Pesta Perdana di Singapura yang akan berlangsung di panggung The Theatre pada pada 17 Jun.

Walaupun tidak pernah menggenggam trofi aktres terbaik, seniwati itu tetap bersyukur kerana dirinya masih dihargai dari sudut yang lain.

Aktres itu juga berkata, dia berpuas hati kerana rezekinya dalam dunia seni tidak pernah putus.

“Saya mahu terus berada dalam bidang ini kerana ia adalah punca rezeki saya.

“Arwah ayah saya pernah berkata, rezeki adalah masing-masing, jadi jika ada orang nak bagi anugerah, saya terima.

“pada usia begini, syukur orang melihat bakat saya masih relevan dan rezeki pun tak pernah putus,” katanya.

Sementara itu, ditanya berhubung gelaran Datuk, Fauziah berkata dia juga belum layak untuk menyandang status sedemikian kerana ia lebih sesuai untuk individu yang banyak memberikan sumbangan khusus kepada masyarakat.

“Layak ke saya? Saya malu kalau ada yang tawarkan pangkat macam itu tapi saya bukannya orang yang berduit.

“Apa boleh saya sumbang kepada masyarakat?” katanya.