Skip to main
Logo Malaysiakini

Norlia Ghani: Sepuluh sen pun tak dapat

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

“Biasanya, pelakon dibayar sekurang-kurang 30 hingga 40 peratus lepas selesai penggambaran drama berepisod, ini sepuluh sen pun tak ada,” demikian luahan pelakon veteran Norlia Ghani berbubung bayaran tertunggak daripada Awesome TV.

Tambah kecewa harapan untuk sekurang-kurangnya menerima bayaran walaupun sedikit daripada hasil keringat yang dicurahkannya untuk menjalankan persiapan Aidilfitri, sebaliknya menemui kegagalan.

“Saya ada kirim pesanan ringkas (WhatsApp) kepada pengarah dan penerbit soal bayaran, namun mereka beri jawapan untuk bayar lepas raya. Saya tunggu bayaran itu sebelum Ramadan lagi.

“Ini hari raya pun dah habis. Bermaksud, dah lama sangat saya tunggu. Persediaan raya tahun ini pun tak ada apa. Saya pula tak sihat sejak sebelum Ramadan.

“Kerja pun dah buat, mereka (Awesome TV) dah kira berhutang dengan saya.

“Kalau tak bayar, malulah, ini stesen televisyen (TV) besar, nama pun Awesome (mengagumkan), jadi di mana yang awesome?” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Walaupun enggan mendedahkan berapa banyak wang yang belum dilangsaikan pihak stesen TV terbabit, kata Norlia jumlah itu sememangnya “lumayan.”

Bergelar artis veteran, kata Norlia, dia sedar peluangnya untuk kekal relevan tidak lagi secerah seperti ketika usianya masih muda.

Serik tawaran kerja Awesome TV

Justeru, menurutnya memang besarlah harapannya untuk menerima bayaran yang sepatutnya sudah lama diterima itu.

“Saya sedar, dah berumur, banyak watak yang menjadi permintaan stesen televisyen adalah untuk orang muda. Jadi, saya yang artis veteran memang kurang dapat peluang.

“Jumlah bayaran, maaf saya tak boleh kongsikan. Tapi untuk saya, bayaran itu memang lumayan, tak adalah hanya dua atau tiga ratus saja,” katanya.

Sebelum ini, selain Norlia, Malaysiakini pernah menyiarkan kisah pelawak Atu Zero yang mengalami nasib sama daripada stesen terbabit.

Atu (gambar, atas) berkata bayaran tertunggak hingga kini masih belum dilunaskan Awesome TV adalah hampir RM30,000.

Bagaimanapun, Norlia, 74, tetap meluahkan perasaan syukur, walaupun di usia emas, rezekinya dengan stesen TV lain masih luas.

Dan katanya, dia tidak pernah mengalami masalah pembayaran melalui pengalamannya dengan majikan lain sebelum ini.

“Alhamdulillah masih dapat tawaran lain, dijemput berlakon, legalah sikit untuk teruskan kehidupan.

“Saya juga tiada masalah dengan stesen TV lain, mereka bayar pada masanya, paling lewat pun mungkin sebulan saja,” tambahnya.

Norlia berkata selepas ini dia serik untuk menerima tawaran kerja daripada Awesome TV susulan isu yang berbangkit.

Pada masa sama, dia mempersoalkan sama ada Awesome TV sedang berdepan masalah kewangan kerana sebelum ini dia tidak berdepan sebarang isu untuk menuntut haknya.

“Pernahlah merasa juga bayaran daripada mereka, sebelum ini saya berlakon sitkom.

“Memang saya serik, dah tak nak bekerja dengan mereka lagi. Yang ini toksah (jangan kata) saya seorang, orang lain pun dah tak nak bekerja dengan mereka lagi kalau macam ini cara mereka berurusan,” katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan respons Awesome TV berkaitan isu tersebut.