Skip to main
Logo Malaysiakini

Awesome TV nafi tak buat bayaran, tuntut Norlia Ghani, Azrel mohon maaf

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Awesome TV menuntut pelakon Norlia Ghani dan Azrel Ismail memohon maaf kerana mendakwa tidak menerima bayaran daripada stesen televisyen itu.

Menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak adil, Awesome TV berkata mereka tidak ada kena mengena dengan tuduhan yang dilemparkan oleh kedua-dua pelakon terbabit.

“Tindakan Norlia Ghani dan Azrel Ismail menggunakan media masa dan media sosial mempersoal mengenai bayaran secara tidak langsung mengheret pihak kami dalam kemelut ini sekali gus mencalarkan imej dan reputasi Awesome TV.

“Norlia dan Azrel dinasihatkan untuk meminta maaf kepada Awesome TV kerana telah memburukkan nama stesen secara tidak adil,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Malaysiakini menyiarkan keluh-kesah Norlia, 74, yang mendakwa masih belum menerima bayaran selepas menuntut haknya sejak sebelum Ramadan.

Pelakon senior itu juga memaklumkan isu bayaran tertunggak menyebabkan dia serik untuk bekerja lagi dengan Awesome TV.

Azrel pula mendakwa dia masih belum menerima bayaran sebanyak RM20,000 membabitkan lakonannya dalam drama bersiri sebanyak 18 episod bertajuk Jodoh Duda I terbitan Awsome TV.

Menurut Awesome TV, pembayaran kepada pelakon-pelakon tersebut sebaliknya adalah tanggungjawab syarikat produksi yang telah dilantik untuk menerbitkan drama terbabit.

“Artis disarankan untuk menyemak kontrak mereka sebelum membuat apa-apa tuduhan,” katanya.

Stesen TV itu turut menggesa netizen tidak membuat sebarang spekulasi dengan hanya mendengar daripada sebelah pihak.