Skip to main
Logo Malaysiakini

Watak 'penyondol' Puteri Sarah bukan sokong perampas suami orang

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menerima tawaran untuk menjayakan watak seorang ‘penyondol’ bukan bermaksud dirinya menyokong perbuatan golongan seperti itu, kata Puteri Sarah berhubung gelaran sering dilabel kepada wanita yang menjadi perampas suami orang.

Puteri Sarah berkata demikian bagi mengulas lakonannya dalam drama terbaru berjudul HIjrah Jannah.

“Ada ke (orang terfikir begitu?) Saya tak terfikir pun. Saya tak ada sokong sesiapa (penyondol).

“Saya hanya bawa watak Munirah sebab ingin beri pengajaran agar penonton dapat menyelami situasi kehidupan berumah tangga yang begitu,” katanya yang masih menunggu keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi melihat keputusan lanjut berhubung permohonan cerai dengan suaminya Syamsul Yusof

Pemilik nama penuh Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu menjelaskan, kepelbagaian pemilihan karakter dilihat amat bersesuaian dengan perkembangan kariernya sebagai pelakon.

Seronok bawa watak penyondol

Namun, katanya, pada masa sama, dia sudah bersedia sekiranya bakal dikecam disebabkan membawa watak penyondol yang dilihat seolah-olah bertentangan dengan kisah peribadi rumah tangga yang didepani.

“Ini adalah watak baru untuk saya teroka sebab sebelum ini tak berpeluang kembangkan watak, mungkin juga ada segelintir yang berkata, lah.. just a pretty face. Tapi, saya seronok bawa watak penyondol.

“Jadi, saya harap, watak Munirah yang jadi penyondol psiko ini dapat serlahkan bakat saya macam dalam drama Andai Itu Takdirnya (bawa watak Umairah).

“Saya percaya, memang akan ada pihak yang cuba mengaitkan perjuangan saya dalam kehidupan berumah tangga yang dialami kini dan jadikan ia isu. Jadi, saya dah bersedia untuk berdepan kecaman. Yang penting, saya deliver,” katanya.

Puteri Sarah ditemui pada majlis sidang media Hijrah Jannah di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur kelmarin.

Hijrah Jannah yang mendapat arahan Feroz Kadir itu akan mengisi slot Tiara di Astro Ria bermula 5 Jun ini. Drama bersiri 40 episod berkenaan turut dijayakan pelakon lain seperti oleh Remy Ishak, Daniella Sya dan Ezaidi Aziz.

Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.

Namun, pengarah filem Munafik itu enggan menceraikan Puteri Sarah pada 18 April lalu berikutan aktres terbabit menolak syarat dikemukakan iaitu pengurangan nafkah anak dan menarik semula saman ke atas madunya, Ira Kazar dan keluarga.

Kemelut rumah tangga yang didakwa berlaku sejak empat tahun lalu menjadi semakin rumit apabila Syamsul membuat pendedahan sudah bernikah dengan anak pelakon veteran, Kazar Saisi itu pada awal Jan lalu di Thailand.

Sementara itu, mengulas perkembangan kariernya, Puteri Sarah berkata, dia bersyukur walaupun saat berdepan dugaan berat, dia berjaya mengharunginya dengan menyibukkan diri melakukan tugasan.

Menurutnya, pintu rezekinya juga semakin murah apabila menerima lamaran bekerja dengan pengarah terkenal dari Indonesia.

“Alhamdulillah, Allah tarik, tapi berikan nikmat yang lain pula. Sekarang baru saya nampak aturan Allah. Saya baru terima tawaran membintangi filem arahan Hanung Bramantyo.

“Selain itu, saya juga terima tawaran lagu dan peluang kembangkan perniagaan di Indonesia. Saya dah ada pembiaya (funder).

“Dalam tempoh enam bulan, saya jayakan dua drama yang keseluruhannya berjumlah 100 episod,” katanya yang ingin menutup kisah rumah tangga dengan membuka lembaran baru.