Skip to main
Logo Malaysiakini

Daniella terpaut hati dalami Islam, tertawan sikap jejaka Melayu

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Walaupun seorang freethinker (tiada pegangan agama), pelakon Daniella Sya berkata dalam banyak-banyak agama, dia paling tertarik untuk mendalami Islam.

Kata wanita Cina asal Sungai Petani, Kedah itu, dia semakin berminat untuk mendalami Islam selepas diberi peluang membawa watak wanita mualaf bernama Jannah.

“Saya dilahirkan sebagai freethinker, tapi dalam keluarga, kami bebas untuk pelajari apa saja. Jadi memang tiada masalah sekiranya saya galas watak wanita mualaf.

“Sebelum ini juga, saya pernah bawa watak mualaf lain. Sejak itu, saya memang banyak bertanya mengenai Islam dan perjalanan bagaimana menjadi seorang mualaf.

“Saya harap ia tak terhenti di situ kerana banyak lagi yang saya nak ketahui pasal agama itu,” katanya.

Tambah Daniella, 34, apabila memegang watak wanita yang penampilannya bertudung, perasaan dan jiwanya sekali gus berasa tenang.

“Macam mana nak katakan ya… saya sebenarnya rasa selamat apabila memakai tudung. Sebab saya tak perlu nak fikirkan soal rambut ataupun penampilan.

“Saya juga berasa tenang,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Hijrah Jannah di ibu kota kelmarin.

Menerusi drama berkenaan, pelakon berkenaan membawakan watak seorang mualaf yang terpaksa berhadapan pelbagai kemelut apabila dibuang keluarga asal kerana ingin mengahwini pemuda Melayu. Kehidupannya bertambah rumit apabila suaminya dihasut untuk berkahwin dua.

Lebih istimewa, Daniella atau nama penuhnya Daniella Sya Yeng Yeng berkata, dia juga kini sedang mengenali hati budi seorang jejaka Melayu.

Katanya yang mula aktif dalam industri tempatan 2008 itu, pemuda berkenaan berjaya menawan hatinya kerana sikapnya yang sopan santun serta tidak mengambil kesempatan ke atas wanita.

“Saya terpaut hati kerana dia seorang yang penyabar, sopan, tutur katanya juga lemah lembut.

“Dia juga tak pernah ambil kesempatan pada saya. Jadi, sebab itu dia berjaya memenangi hati saya,” katanya.