Skip to main
Logo Malaysiakini

Fahmi arah Awesome TV selesai semua isu secara baik

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menggesa stesen penyiaran Awesome TV melunaskan tanggungjawab berhubung isu hutang tertunggak dan kes saman, jika ada, membabitkan pihak penerbit dengan kadar segera.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata dia sudah mengadakan pertemuan dengan Awesome TV pada 15 Mei lalu bagi memastikan mana-mana isu berbangkit tidak berlanjutan.

“Pada pertemuan itu, saya sudah minta pengarah dan CEO Awesome TV untuk segera jelaskan isu babitkan tunggakan sekiranya ada...Perkara ini saya lihat agak penting.

“Saya menggesa pihak Awesome TV segera menyelesaikan isu ini walaupun saya difahamkan ada sesetengah pihak yang mempunyai saman sivil dan sebagainya.

“Saya minta kalau boleh semua pihak duduk di meja rundingan dan selesaikan dengan cara baik agar semua pihak pun boleh dapat manfaat,” katanya.

Kata ahli parlimen Lembah Pantai itu lagi, isu hutang tertunggak memberi kesan kepada penerbit drama atau program dibiayai MyCreative Ventures Sdn Bhd, iaitu agensi di bawah KKD.

“Saya difahamkan, MyCreative Ventures mengadu kepada saya ada sejumlah penerbit atau syarikat yang menerima dana daripada agensi itu dengan tujuan untuk menghasilkan filem atau bahan.

“Bahan itu sepatutnya dibeli Awesome TV. Tapi, atas sebab tertentu ada sejumlah syarikat yang belum menerima bayaran daripada Awesome TV.

“Ini akan memberi kesan kepada pinjaman yang syarikat berkenaan terima daripada MyCreative Ventures. Jadi, saya sudah minta maklumat terperinci (berkenaannya),” katanya yang akan mengadakan pertemuan susulan dengan Awesome TV.

Fahmi berkata demikian selepas sesi Townhall Industri Kreatif: 3 yang diadakan di RexKL, Kuala Lumpur malam tadi.

Turut hadir adalah Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Kamil Othman dan Ketua Eksekutif Md Nasir Ibrahim yang bertindak selaku panel. Sesi itu dikendalikan pelakon dan pengacara Naz Rahman.

Lebih 400 penggiat industri filem menghadiri sesi dua hala itu untuk meluahkan keluh kesah mereka berkaitan sektor kreatif.

Sementara itu, berhubung dakwaan Awesome TV beroperasi tanpa lesen, Fahmi berkata perkara itu disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Saya difahamkan MCMC sudah membuat kompaun terhadap Awesome TV kerana stesen berkenaan beroperasi dengan ada pelanggaran syarat-syarat pelesenan.

“Bagaimanapun, saya sudah minta MCMC selaku badan selia yang mengawal lesen untuk terus memantau beberapa perkara lain,” katanya lagi.