Skip to main
Logo Malaysiakini

Penerbit Ada Apa Dengan Dosa lega Fahmi beri respons positif

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Selepas berhabis RM100,000, penerbit filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD), , Ayu Puteh menghela sedikit kelegaan apabila kes saman membabitkan isu pelanggaran hak cipta eksklusif terhadap Shopee Mobile (M) Sdn Bhd (Shopee) mendapat maklum balas positif Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Katanya, sebelum ini dia berasakan dirinya ibarat bola yang ditendang-tendang ke merata-rata tempat.

“Kami keluarkan RM100,000 untuk kes saman babitkan Shopee tapi kerja tak habis lagi, jadi kena letak duit (tambah) sampai habis kes.

“Kami terkilan sebab kes berlanjutan dah lama iaitu hampir tiga tahun.

“Tapi alhamdulillah YB (Fahmi) baru ini ambil insisiatif untuk berjumpa dengan Shopee dan cuba selesaikan. Terima kasih kerana ambil peduli.

“Jika tidak, kami rasa ditendang-tendang seperti bola sebab dah buat empat hingga lima aduan kepada pihak yang berwajib namun tiada tindakan,” katanya.

Fahmi Fadzil

Bagaimanapun, Ayu atau nama penuhnya Normashayu Puteh mencadangkan agar Fahmi terlebih dulu mengadakan pertemuan dengan pihaknya sebelum berjumpa dengan syarikat laman e-dagang itu yang dinamakan sebagai defendan tunggal dalam kes terbabit.

“Cuma kalau YB jumpa Shopee terus, takut kenyataan jadi lain. Setakat ini, pihak defendan tak mengaku salah tapi salahkan user (pengguna platform yang menjual filem tersebut).

“Jadi, saya cadangkan untuk berjumpa dengan mangsa dulu iaitu saya,” katanya.

Ayu berkata demikian ketika ditemui pada sesi Townhall Industri Kreatif: 3 yang diadakan di RexKL kelmarin.

Terdahulu, Fahmi dalam sesi yang dihadiri kira-kira 400 penggiat industri itu berkata perkara tersebut akan dirujuk kepada platform yang terlibat untuk tindakan lanjut.

Tiada akta jamin perlindungan

Penerbit filem AADD, Pencil Pictures And Records Sdn Bhd (PPAR), mengemukakan saman pelanggaran hak cipta eksklusif terhadap Shopee kerana mengedar dan menjual filem keluaran syarikatnya dalam platform e-dagang itu dengan harga serendah 80 sen.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pula menegaskan agensi berkenaan tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap Shopee berdasarkan kerugian sesebuah produksi yang dialami akibat hak cipta mereka dilanggar.

Sebaliknya Pengerusi Finas ketika itu, Zakaria Abdul Hamid, berkata bidang kuasa menyaman mereka hanya sekiranya sesebuah platform e-terbabit tiada lesen pengedaran.

Saman pelanggaran itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Sept 2020.

Mengulas lanjut, Ayu berkata, PPAR berharap pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya terutama dari sudut akta yang mampu melindungi penggiat industri.

“Kami tak peduli, kalau dapat tahu siapa user pun kami akan saman, cuma sukar untuk kami dapatkan maklumat tersebut kerana Shopee tidak mendedahkan maklumat peribadi.

“Dari segi akta pula, tak ada jaminan ia tak melindungi kami penerbit sedangkan Shopee tak ada lesen untuk mengedar dan menjual filem.

“Saya harap pihak berwajib tak akan lepaskan Shopee, dan kalau boleh biar ia menjadi contoh rujukan yang perlu diambil iktibar agar ia tak berulang lagi,” katanya.