Skip to main
Logo Malaysiakini

RIM bantu penggiat dengan Sumbangan Rahmah Industri Muzik

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) melancarkan program amal Sumbangan Rahmah Industri Muzik (Sumbangan Rahmah) dalam usaha membantu penggiat industri muzik tempatan.

Pengerusi RIM Rosmin Hashim berkata pihaknya mendapat sokongan pembiayaan tahunan sebanyak RM100,000 daripada Public Performance Malaysia Berhad (PPM) yang merupakan pertubuhan pengurusan kolektif tertua di Malaysia.

“Melalui program ini, pengamal industri muzik terdiri daripada penyanyi, pemuzik, pencipta lagu sehinggalah pegawai perhubungan awam syarikat rakaman yang menghadapi kesusahan akibat pelbagai faktor boleh memohon bantuan kewangan daripada Sumbangan Rahmah yang baru ditubuhkan ini,“ katanya ketika berucap pada majlis pelancaran inisiatif itu di Kuala Lumpur semalam.

Majlis itu yang dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub adalah selari dengan inisiatif Payung Rahmah bagi membantu meringankan kos hidup rakyat.

Rosmin berkata permohonan bantuan kewangan itu mula dibuka hari ini dan sebarang butiran program termasuk kelayakan, kriteria dan borang boleh didapati di laman sesawang www.rim.org.my/sumbangan-rahmah-application.

Dia juga berkata Sumbangan Rahmah Industri Muzik merupakan pengembangan dana kecemasan yang ditubuh sebelum ini dalam menyediakan bantuan kewangan segera kepada penggiat industri muzik yang berdepan masalah kewangan akibat wabak Covid-19 yang melanda negara sebelum ini.

“Kami prihatin tentang nasib artis veteran yang bergelut untuk menampung kehidupan serta mereka yang memerlukan bantuan untuk membayar bil perubatan mereka yang banyak.

"Kami amat bersyukur kerana program seperti ini berjaya dilaksanakan.

“Seperti Dana Kecemasan RIM sebelum ini, kami akan mematuhi parameter dan syarat yang ditetapkan dalam penyaluran bantuan kewangan dana Sumbangan Rahmah Industri Muzik kepada pemohon yang layak,” katanya.

Pada majlis itu, Salahuddin menyerahkan cek replika bernilai RM2,000 kepada beberapa penggiat industri muzik yang juga adalah penerima pertama sumbangan.

Antaranya penyanyi Zaiton Sameon, Ali Ismail atau lebih dikenali sebagai Ali XPDC, Sazali P Ramlee dan Ben Nathan.

- Bernama