Skip to main
Logo Malaysiakini

Teater 'Cikgu Anda' mahu ketengah semangat mahasiswa, guru

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sempena Hari Guru yang disambut pada 16 Mei lalu, Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (Payaam) akan mementaskan teater Cikgu Anda.

Pementasan yang mendapat kerjasama Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (Pemekar) itu akan berlangsung pada 10 Jun, pukul 8:30 malam di Ballroom Grand Barakah Hotel, Ampang.

Menurut pengarah Amran Nasruddin, teater Cikgu Anda yang merupakan idea asal oleh Suhaimi Ibrahim itu merupakan kisah benar dari perbualan dan perbincangan bersama ahli veteran alumni Payaam.

“Skrip ini ditulis semula oleh Anwar Idris dan diadaptasikan ke pentas untuk mengangkat nama Yayasan Anda Akademik yang merupakan institusi pendidikan swasta.

“Yayasan tersebut telah diasaskan oleh sekumpulan siswazah universiti tempatan dan dipelopori oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Mac 1971,” katanya pada sidang media di Ampang pada hari ini.

Antara barisan produksi teater ‘Cikgu Anda’; Pengarah Amran Nasrudin (dua dari kiri), penerbit Suhaimi Ibrahim (tengah) dan penulis skrip Anwar Idris (kanan)

Dia yang juga merupakan pengerusi Pemekar berkata bahawa teater itu akan menonjolkan semangat, usaha dan ketabahan mahasiswa dan guru serta berharap supaya pementasan tersebut mendapat sambutan.

“Saya berhadap agar pihak media dapat menguar-uarkan pementasan ini serta sokongan daripada pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Komunikasi Digital (KKD) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS),” katanya.

Sidang media yang diadakan di sebuah hotel itu disempurnakan oleh Senator Ahli Dewan Negara Prof Dr Awang Sariyan yang menyampaikan ucapan tahniah kepada barisan produksi yang menjayakan pementasan tersebut.

“Saya ingin ucapkan tahniah dan syabas kepada Payaam kerana dengan pementasan ini saya yakin masyarakat boleh menghargai jasa beliau (Anwar) yang bukan sekadar ahli politik,” katanya.

Antara pelakon yang akan menjayakan teater itu ialah Ahmad Tamimi Siregar, Hairi Safwan, Che Mat Raja Lawak dan Najua P Ramlee.