Skip to main
Logo Malaysiakini

Filem Eraser, hidup Adibah Noor ada persamaan secara kebetulan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pemergian penyanyi dan pelakon serba boleh, Allahyarham Adibah Noor, tiga bulan selepas dia selesai menjalani penggambaran filem terakhirnya meninggalkan kesan mendalam buat pengarah Mark Lee.

Mark yang juga artis visual itu dimaklumkan berita pemergian Adibah ketika Eraser masih di peringkat pascaproduksi.

Lebih sukar, katanya, apabila watak terakhir dilakonkan Adibah mempunyai persamaan dengan kehidupan artis itu yang menderita kanser ovari tahap empat.

“Saya rasa dia sedang melihat kami 'dari atas sana' dan mahu projek ini diteruskan.

"Bahagian paling sukar ialah apabila kami menulis mengenai karakter dalam skrip yang pada realitinya ia sedang lalui Adibah.

“Saya cipta karakter yang tinggal beberapa bulan saja lagi untuk hidup, dan watak berkenaan menghidapi kanser ovari. Hal ini memang betul-betul terjadi pada Adibah,” katanya.

Menurut Mark lagi, Adibah sering mengunci mulut berhubung masalah kesihatannya, kecuali sesekali mengadu sedang mengalami masalah kekejangan perut.

Justeru, pengarah itu langsung tidak terfikir penghibur terbabit - antara lain diingati kerana lagunya, Terlalu Istimewa - sedang berdepan dengan masalah kesihatan yang serius.

Tambahan pula Adibah seorang yang sentiasa ceria.

Adibah meninggal dunia pada 18 Jun tahun lalu. Penyanyi itu pergi buat selama-lamanya akibat kanser ovari tahap empat yang dideritai sekian lama tanpa pengetahuan umum termasuk ahli keluarga.

Mereka hanya mengetahui penyakit Adibah itu pada saat-saat akhir.

Eraser sebuah filem pendek berdurasi tiga minit yang diterbitkan Mark beberapa tahun lalu untuk peraduan bersempena sambutan Hari Merdeka ke-57. Karya itu ia membolot hadiah utama RM57,000.

Filem terakhir dilakonkan Adibah itu juga sedang ditayangkan di Amazon Prime.

Turut membintangi filem itu ialah Namron, Angela Chan, Dhiya Ariffin, Alyssa Lee, dan Danish Adam.

[Baca berita penuh]