Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan mahu teliti dulu sebelum putuskan pampasan pada waris Syed Ahmad Jamal

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan memohon untuk diberi ruang meneliti dahulu isu perobohan arca Seniman Negara Allahyarham Syed Ahmad Jamal sebelum membuat sebarang rancangan untuk memohon maaf dan membayar pampasan kepada waris Allahyarham.

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata demikian ketika ditanya berhubung perobohan arca Puncak Purnama yang berlaku pada 2016 itu.

"Saya tidak mempunyai maklumat terkini kerana kita perlu melihat semula perkara itu.

"Biar saya ketahui dahulu status terkini," katanya secara ringkas kepada Malaysiakini ketika ditemui di pameran Oriental Paintings di Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur, hari ini.

Syed Ahmad, yang meninggal dunia pada usia 81 tahun pada 2011, adalah antara lapan rakyat Malaysia yang dinamakan sebagai Seniman Negara - anugerah tertinggi dalam bidang seni di Malaysia, yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Puncak Purnama merupakan arca seramik dan kaca oleh Syed Ahmad yang juga bekas pengarah Balai Seni Lukis Negara. Arca itu disiapkan pada tahun 1986.

Pada 2010, Syed Ahmad memenangi saman sivil terhadap Datuk Bandar Kuala Lumpur berhubung pengubahsuaian pada arca yang dibuat pada 2000, tanpa pengetahuan atau persetujuannya.

Namun, pada 2016 arca tersebut diroboh oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan disifatkan sebagai "menyakitkan mata" oleh menteri Wilayah Persekutuan ketika itu Tengku Adnan Tengku Mansor.

Selain logo Balai Seni Lukis Negara, Syed Ahmad juga pencipta logo PKR.