Skip to main
Logo Malaysiakini

Dah ditakdirkan sepentas bersama Chris Hemsworth, kata Aaron Aziz

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

“Allah SWT adalah sebaik-baik perancang,” kata pelakon Aaron Aziz mengulas mengenai peluangnya berdiri sepentas di samping bintang kelas A Hollywood, Chris Hemsworth pada majlis premier filem Extraction 2.

Justeru pelakon itu yakin rezeki seseorang tidak pernah 'tersalah alamat.'

“Alhamdulillah untuk peluang berada di Manila, Filipina.

“Hanya Allah yang tahu terbaik,” katanya melalui video perkongsian dimuat naik di Instagram miliknya.

Aaron juga berkata, babak pertarungan dalam Extraction 2 yang mendapat arahan Sam Hargrave itu 100 kali lebih hebat daripada Fast X.

“Kamu semua harus tonton,” katanya.

Dalam video berkenaan, selain sepentas dengan Hemsworth yang terkenal dengan wataknya sebagai bintang adiwira berdasarkan watak Marvel Comics, Thor, Aaron juga berdiri di samping pengarah Extraction 2, Sam Hargrave.

Turut hadir, seorang lagi pelakon negara ini, Iedil Dzuhrie Alaudin.

Kehadiran aktor asal Singapura itu pada sidang media yang diadakan di Manila itu mengundang perhatian pengguna alam maya.

Ia berikutan baru-baru ini pengarah Syamsul Yusof pernah mengeluarkan kenyataan berhubung pengguguran Aaron daripada filem The Original Gangster arahannya.

Syamsul mendakwa keputusan itu bukan dibuat seorang sebaliknya secara bersama penerbit filem tersebut.

Antara alasan dikemukakan ialah Aaron sudah tua, gemuk dan sakit.

Menjengah ke ruangan komen, terdapat segelintir netizen secara sinis menyindir tindakan Syamsul terhadap Aaron sebelum ini.

“Sini orang tak hargai kita tapi rezeki di luar sana orang sokong,” kata seorang lagi netizen.

Selain itu, ada netizen yang memuji pencapaian karier Aaron dalam bidang lakonan.

“Rezeki tak salah alamat, alhamdulillah dan tahniah,” kata pengguna @M0hd_zaky.

Seorang lagi pengguna alam maya berharap peluang itu bakal membuka lebih banyak tawaran luar untuk pelakon berkenaan.

“Sama level dengan Chris Hemsworth, semoga lebih banyak peluang antarabangsa lepas ini,” kata seorang pengguna Internet.

Untuk rekod, hasil semakan Malaysiakini dengan Netflix mendapati kehadiran Aaron dan Iedil pada majlis berkenaan bukan kerana mereka membintangi Extraction 2 yang dijayakan Hemsworth.

Pelakon itu berdua sebaliknya ke sana kerana mewakili negara masing-masing untuk Netflix.