Skip to main
Logo Malaysiakini

Shuib, Watie terima tajaan hampir RM2 juta

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Walaupun tiada majlis resepsi, pelawak dan penyampai radio terkenal Shuib Sepahtu memberitahu dia menerima tajaan hampir RM2 juta untuk majlis perkahwinan dengan Watie Hanifah yang akan berlangsung 23 Jun ini.

Kata Shuib, tajaan yang diterima termasuk set barang kemas daripada Siti Jewel.

“Tak ada majlis resepsi kerana ini adalah atas persetujuan kedua-dua belah pihak.

“Dari segi penajaan, ia membabitkan majlis khatam al-Quran, berinai hingga akad nikah. Nilainya - termasuk barang kemas - mencecah hampir RM2 juta.

“Bagaimanapun, bukan semua kos ditaja sebab saya tetap keluarkan kos sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Walimatulurus Shuib & Watie di Astro, Bukit Jalil, hari ini.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shamira Muhammad, majlis pernikahan mereka bakal diadakan di Putra Glass House, Putra Heights di Selangor.

Katanya, pada hari sama turut akan berlangsung tiga majlis lain.

“Pada 23 Jun, akan ada majlis khatam Al-Quran, berinai dan majlis akad nikah.

“Majlis kami adakan sederhana saja tapi saya nak majlis akad nikah ada pelamin untuk kami bergambar bersama keluarga.

“Watie adalah anak dara dan ini perkahwinan pertamanya.

“Jadi, saya nak ini menjadi satu kenangan indah buat dia juga. Kami nak raikan semua orang terutamanya keluarga,” katanya lagi.

Majlis itu juga akan ditayangkan dalam siri mini terbaru bertajuk Walimatulurus Shuib dan Watie yang akan merakamkan detik manis serta perjalanan cinta pasangan itu.

Program tiga episod itu akan menemui penonton secara eksklusif bermula 24 Jun, 9 malam di Astro Ria.

Pasangan Shuib dan Watie mengikat tali pertunangan pada 6 Mei lalu.

Untuk rekod, Shuib pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raisuddin pada 2011.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.

Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.