Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Apa beza PBAKL dengan pesta buku lain? 

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Tak ada. Adanya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bukanlah bertujuan untuk mengundang sebanyak mungkin penerbit antarabangsa yang berkeupayaan untuk menerbitkan buku dalam Bahasa Inggeris sahaja. 

Saya ulang–bahasa Inggeris sahaja–seperti kata sesetengah pengkritik kalau nak ada pesta buku antarabangsa kenalah ada buku Inggeris (sahaja). 

PBAKL juga tak jauh berbeza dengan konsep adanya Pesta Buku Frankfurt, Abu Dhabi, Sharjah, Cairo ataupun Jakarta. Bukan bahasa yang menjadi keutamaan sesuatu pesta buku. 

Tujuannya adalah untuk menghimpunkan seramai mana individu (penjual buku, penerbit, penulis, pengumpul buku, intelektual, sarjana, peminat komik) dalam satu bumbung, dalam satu ruang, dalam satu medan untuk menzahirkan minat yang sama terhadap buku. 

Pesta Buku adalah tempat dimana segalanya tentang buku, penerbitan dan penulisan yang dihasilkan dalam industri sesuatu negara itu–dikeluarkan untuk didagangkan kepada sesiapa sahaja. Rakyat marhaen ataupun pedagang hak cipta.

Ada suara yang merungut tentang betapa lambakan buku agama ‘separuh masak’ dan trend buku healing yang menjadi tumpuan pengunjung di pesta buku.

Suara-suara ini agaknya rasa mereka istimewa kerana mereka membaca buku yang hanya lepas reviu di New York Times atau New Yorker

Disebabkan itu, PBAKL ini selalu digambarkan oleh ‘suara-suara’ ini dengan nada yang negatif dan antipencerahan. 

Antipencerahan merujuk kepada budaya yang menolak ilmu pengetahuan sebagai jalan keluar terhadap kemunduran fikiran. 

Kononnya buku-buku healing ini buku longgokan sampah. Ia tidak serius. Ia tidak boleh…umpphh..mengubah tamadun!

Kita hidup di zaman segalanya atas talian. Hatta memilih buku apa yang untuk dibaca sekalipun–pasti akan dirujuk dahulu dengan carian menerusi Google, Twitter, Facebook, Tiktok dan Instagram. 

Berapa kerat sangatlah yang mencari buku selepas membaca helaian laman muka surat rencana ulasan buku menerusi surat khabar Utusan, The Star, Berita Harian atau Sinar Harian

Ada tapi mungkin tak ramai. Medium pembacaan pun sudah berubah. Manusia–hakikatnya adalah makhluk yang akan sentiasa membaca sesudah mereka celik huruf. 

Cuma bezanya dulu dengan sekarang adalah medium. Beberapa dekad yang lepas–satu-satunya cara untuk orang biasa mengetahui apa yang sedang terjadi di dalam dan luar negara adalah dengan membaca–samada buku, majalah, akhbar ataupun komik. Ketika itu, siaran televisyen juga terhad. 

Televisyen juga mahal untuk dimiliki oleh keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana. Smartfon belum wujud. Tidak ada media sosial. Tidak ada platform OTT seperti Netflix, Amazon Prime atau Apple TV.

Zaman sebelum wujudnya internet–buku satu-satunya hiburan yang mudah diakses oleh orang muda atau pun dewasa. Tidak ada pilihan lain kecuali dengan membaca.

Rakyat Malaysia–tidak banyak seperti negara lain–beruntung kerana kebolehan mereka untuk memahami secara dwibahasa – Melayu dan Inggeris diasah sejak kecil. 

Bahasa Melayu dan Inggeris dipelajari sejak sekolah rendah sehingga tamat pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Rata-ratanya habis pendidikan SPM. Jadi, sedikit sebanyak ramai yang celik huruf dan memahami asas Bahasa Melayu dan Inggeris. 

Soal buku apa yang dicari dan dibaca–itu sudah lebih awal ditentukan dalam lapangan media sosial masing-masing

Kalau zaman dahulu, kita membeli buku setelah membaca ulasan buku dalam surat khabar–sekarang sudah berubah. Kita membeli buku mengikut apa yang telah ditentukan oleh algoritma media sosial.

Baru-baru ini wujud komen tentang jenis buku yang dibaca dan dijual ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). 

Saban tahun, PBAKL sering dilihat sebagai pesta buku yang memberikan keutamaan dengan longgokan buku-buku keagamaan yang berbahasa Melayu–khusus untuk pembaca yang menepati citra Melayu dan Islam.

Tak ada Melayu, tak ada Islam. Tak adalah PBAKL.

Begitu juga dengan PBAKL. Kita boleh lihat dengan seribu satu cara. Ada yang melihatnya secara positif. Setidak-tidaknya penjual buku yang susah payah mengeluarkan belanja yang besar–pulang dengan rasa gembira setelah pelaburan mereka berhasil. 

Ada pembaca buku yang gembira dapat bertemu sapa dengan penulis. Bertukar-tukar buah fikiran dan rencana. Ada juga yang sinis–serba tak kena. Ada saja yang tak betul dengan penganjuran PBAKL.

Daripada situ–kita akan faham kenapa sebuah pesta buku itu–tidak wajar untuk dihukum dengan lambakan buku-buku yang tidak kita suka. Pesta buku tetaplah pesta buku.

Catatan ini tidak merujuk kepada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) tahun 2023. Aku tidak berada di sana tahun ini–tidak adil untuk aku sampaikan apa yang aku sendiri tidak tahu.


MUHAMMAD NAZREEN adalah pengasas Bukuku Press dan pengasas bersama Riwayat.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.