Skip to main
Logo Malaysiakini

Rossa harap vokal tetap sedap dinikmati walau dipengaruhi usia

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penyanyi terkenal Indonesia, Rossa, berharap sekalipun terdapat perubahan pada vokal suaranya seiring dengan pertambahan usia, biarlah ia tetap menangkap perasaan dan menjadi halwa telinga pendengar.

Kata Rossa, selepas 25 tahun berkecimpung dalam dunia tarik suara, sudah pasti perubahan kualiti pada vokal kerana penuaan pada pita suara akan berlaku dan ia turut dialami penghibur lain.

“Saya kurang pasti jika ada peminat yang membandingkan vokal saya sekarang dengan ketika pada awal pembabitan menyanyi dulu.

“Saya anggap, perubahan suara adalah sesuatu yang normal kerana ia seiring dengan usia. Tambahan pula saya sudah 25 tahun berada dalam industri.

“Tapi saya harap ia jangan berubah jadi jelek, sebaliknya menjadi lebih bagus,” katanya.

Rossa yang lebih mesra disapa Teteh Ocha itu menjelaskan, perubahan pada kualiti vokal juga mungkin berlaku disebabkan gaya nyanyian seseorang.

Katanya suara boleh berubah kerana mengikut trend.

"Mungkin sekarang berbeza dengan trend nyanyian lima tahun kemudian,” katanya.

Rossa berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaru dan pelancaran konsert Another Journey: The Beginning yang berlangsung di sebuah kompleks beli-belah di Damansara semalam.

Untuk rekod, album Another Journey: The Beginning lahir selepas enam tahun penyanyi Atas Nama Cinta itu tidak menghasilkan sebarang album baru.

Menurut Rossa, 44, album berkenaan begitu dekat buat dirinya kerana ia berkisahkan perjalanan yang dilalui sepanjang pandemik Covid-19 melanda dunia.

“Saya bersyukur walaupun album fizikal tak menjadi pilihan pencinta muzik, ia tetap berjaya terjual sebanyak 300,000 unit dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Rossa atau nama penuhnya Sri Rossa Roslaina Handiyani itu juga berkata, sambutan luar biasa peminat negara ini terhadap jualan tiket konsert Another Journey: The Beginning membuatkan persembahan itu dilanjutkan selama dua hari iaitu pada 13 dan 14 Julai ini.

Konsert itu akan menyaksikan Rossa bergandingan dengan penyanyi muda, Rizky Febian dan Betrand Putra Onsu pada 13 Julai, manakala Mahalini Raharja serta bakat baru dari Malaysia, Zareef Sein sehari kemudian.

Justeru, Rossa, berharap dia dapat memberikan persembahan penuh tenaga buat peminat selama dua hari konsert tersebut berlangsung.

“Saya akan pastikan dapat waktu istirahat di kamar untuk membaik pulih tenaga dengan secukupnya. Insya-Allah,” katanya.