Skip to main
Logo Malaysiakini

Ayim balas aksi melampau Jocelyn dengan jenaka berbudi bahasa

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menganggap 'lawak' Jocelyn Chia sebagai melampau kerana menggunakan isu sensitif dalam persembahannya, ada seorang komika (komediri) Malaysia berasa terpanggil untuk membalasnya.

Pun begitu dia memikirkan reaksi yang perlu ditonjolkan mestilah tetap beradab atau jika tidak, dia sendiri akan terjerumus dalam kelompok individu yang tidak memiliki perasaan atau empati seperti Jocelyn itu.

Justeru, Ayim Razak baru-baru ini tampil dengan sejumlah jenaka berisi yang menghiburkan ramai mengenai Singapura.

“Kita masih berbudi bahasa,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ayim atau nama penuhnya Abdul Rahim Razak berkata, topik yang dipilih dalam persembahannya itu tidak menyentuh isu-isu panas membabitkan republik yang berada di selatan tanah air.

Dia juga menganggap wanita terbabit sangat tidak patut menjadikan isu Malaysia khususnya membabitkan kemalangan pesawat udara MH370 sebagai suatu bahan jenaka.

“Apabila melihat belum ada lagi pelawak Malaysia membalas persembahan Jocelyn itu, saya fikir Malaysia kena balas.

"Sebab itu saya balas balik dengan isu yang langsung tak melibatkan fasal kematian mahupun tragedi,” katanya.

Dalam satu persembahan diadakan di New York, AS, baru-baru ini Jocelyn disifatkan biadab kerana melontarkan carutan dan memperlekeh Malaysia dan membandingkannya dengan Singapura.

Situasi lebih membahang apabila wanita berasal dari Singapura itu mengeluarkan kenyataan keterlaluan yang menyentuh mengenai kehilangan pesawat Malaysia, MH370 yang dikatakan ‘tidak mendarat.’

Bagaimanapun, kerajaan Singapura sudah memohon maaf atas keceloparan Jocelyn yang menghina Malaysia dalam persembahannya.

Acryl Sani Abdullah Sani

Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Vanu Kopala dalam kenyataannya turut menegaskan wanita itu bukan lagi rakyat Singapura.

Semalam pula Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberitahu mereka akan membuat permohonan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan pelawak terbabit.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM akan mengemukakan permohonan tersebut hari ini bagi membantu siasatan berhubung klip video yang tular di media sosial.

Diminta mengulas perasaannya apabila namanya tiba-tiba ‘dipetik’ pengarah dan pelawak Afdlin Shauki, Ayim menyifatkan ia sebagai tanda penghargaan dan sokongan daripada rakan seperjuangan dan ia amat dihargai.

Katanya, tanda penghargaan itu dibuat kerana biasanya golongan komika memahami konsep yang dipanggil roasting dalam sesebuah persembahan komediri.