Skip to main
Logo Malaysiakini

Profima bimbang sektor filem kurang pakar

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Isu penggiat filem tiada sijil kemahiran menggusarkan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) kerana memberikan gambaran sektor filem kekurangan individu pakar serta diiktiraf kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

Justeru, Presiden Profima, Khalil Salleh berkata, persatuan itu menjalankan usaha berterusan dalam memastikan semua penggiat filem yang mempunyai pengalaman kerja dalam skop tugas masing-masing turut menjadi pakar industri yang profesional dan berkemahiran tinggi disokong dengan sijil kemahiran profesional.

“Profima menyasarkan 21,000 ahli termasuk 5,000 ahli yang aktif mempunyai sijil kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Khalil, usaha Profima itu digerakkan sejak setahun lalu dan satu kunjungan hormat ke atas Menteri Kementerian Sumber Manusia, V Sivakumar diadakan pada 29 Mei lalu bagi mengangkat isu penggiat filem tanpa sijil kemahiran profesional. 

Khalil Salleh

“Hasil pertemuan tersebut, Profima dijemput sekali lagi pada 8 Jun ke Jabatan Pembangunan Kemahiran bagi memperincikan isu pensijilan profesional dalam kalangan sektor penggiat filem. 

“Mesyuarat kali pertama ini dibincangkan bersama-sama Ketua Pengarah JPK, Mohamad Sulaiman serta barisan pegawai kanan jabatan,” kata kenyataan itu.

Khalil berkata, Profima mencadangkan kerjasama lebih erat dengan JPK dapat dilakukan untuk membantu penggiat filem khususnya ahli mereka mendapat pengiktirafan menerusi pensijilan profesional oleh kerajaan. 

Menurutnya, usaha itu juga penting dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kerana agensi itu juga adalah peneraju industri perfileman yang berupaya mengiktiraf penggiat filem Malaysia. 

“Profima percaya adanya pensijilan oleh JPK melalui program Pencapaian Pengalaman Terdahulu (PPT) untuk sijil, diploma dan diploma lanjutan, penggiat filem akan diperakui kemahirannya menerusi pengalaman kerja. 

“Kelebihan pensijilan profesional kerajaan ini adalah ia membuka peluang pekerjaan akan lebih luas khususnya apabila penggiat filem bekerja di luar negara untuk terbabit dengan produksi antarabangsa yang melakukan penggambaran di Malaysia.

“Pensijilan profesional ini juga memberikan ruang kepada Profima untuk membantu pihak kerajaan dalam mengumpul data penggiat filem berkemahiran dan secara tidak langsung memberikan ruang kepada pekerja senior yang layak untuk mengajar kemahiran filem di kolej mahupun universiti serta memberikan pencapaian secara individu yang terbabit dalam industri filem,” katanya.