Skip to main
Logo Malaysiakini

Sabri sertai program bual santai lepas sah tiada kempen politik

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Akhirnya Sabri Yunus bersetuju untuk hadir dalam sebuah program bual bicara di Kelantan selepas tercetus sedikit salah faham ekoran tajuknya yang tidak dipersetujui seniman terbabit.

Selain berjalan lancar, program Demo Tanyo, Ambo Jawab itu juga, kata Sabri, tidak melibatkan sebarang soalan politik sebaliknya cuma isu berkaitan agama serta kesenian dibangkitkan.

“Tak ada soalan politik sebab sebelum ini saya pernah beritahu mengenai hal itu, dan pihak urusetia pula mengambil maklum.

“Walaupun dah dekat dengan PRN (pilihan raya negeri), tak ada sepatah pun perkataan yang macam berkempen diucapkan," katanya kepada Malaysiakini.

Sabri yang juga terkenal dengan watak Pok Ya Cong Codei memberitahu dalam program itu pelbagai isu diulas.

Jika berkaitan dengan hukum-hakam dalam Islam, sesi soal jawab itu dikendalikan seorang lagi personaliti terkenal, Azhar Idrus.

"Kalau ada soalan berkaitan kesenian dan kebudayaan, saya jawab,” katanya.

Ditanya mengenai sambutan pada program tersebut, Sabri menjawab: “Terlalu ramai.”

Pada 22 Mei lalu Malaysiakini melaporkan Sabri mengakui dia dipelawa menyertai suatu program santai di Kelantan, namun kurang berpuas hati dengan tajuk poster yang tular mengenainya.

Poster berkenaan yang berlegar di media sosial dengan tajuk menunjukkan pengarah dan pelakon Duan Nago Bogho itu memihak dan berkempen untuk parti tertentu.

Menyedari poster program berkenaan dilihat berbau politik, Sabri, 61, menganggap ia satu kesilapan.

Poster asal program yang dicadangkan

Program Demo Tanyo, Ambo Jawab itu berlangsung di Tumpat, Kelantan pada 10 Jun lalu.

Kata Sabri, banyak pihak mengambil maklum mengenai pendiriannya berhubung pembabitan dalam mana-mana program bersifat politik.

Tegasnya, dia boleh menyertai program yang dianjurkan oleh mana-mana pihak selagi kandungannya tidak melibatkan kegiatan berkempen untuk parti politik.

“Semua orang politik tahu sebab saya dah declare (umum) bertahun-tahun dulu.

"Sekiranya ada parti politik tertentu panggil saya bercakap - walau atas nama parti tapi isu atau content tak libatkan kempen - saya tetap pergi.

“Jika PAS atau Umo buat program tak bersifat kempen pun saya pergi,” katanya.