Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saya hanya nak menari' - Bharatanatyam solo pertama Nadhirah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Fatin Nadhirah Rahmat akan mempersembahkan tarian Bharatanatyam Arangetram solo pertamanya pada jam lapan malam di the Temple of Fine Arts, Brickfields, Kuala Lumpur pada 24 Jun ini.

Tarian itu juga boleh dianggap sebagai "graduasi" buatnya, memandangkan Arangetram adalah di mana pelajar membuat persembahan penuh di pentas buat kali pertama, dan hanya pelajar yang dinilai sudah bersedia oleh gurunya boleh mempersembahkannya.

Nadhirah, 27, tidak sabar untuk menunjukkan dia sudah mengusai tarian klasik India tersebut tetapi pada masa sama tetap berdebar-debar.

"Saya sangat berdebar. Saya rasa seperti menanggung beban yang besar. Saya kerja keras dan harap dapat beri yang terbaik," katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini.

Anak kelahiran Melaka ini bukanlah asing dengan dunia tarian. Dia mula belajar sejak masuk darjah satu di Sekolah Kebangsaan Teruntum di Kuantan, Pahang.

Dia berkata rasa cintanya terhadap seni tersebut disemai ketika melihat bapanya menari ketika dia masih kecil. Dia kemudian mengambil bahagian dalam banyak program persembahan tarian dan seni ketika di sekolah.

"Ketika masih kecil, saya sangat suka tengok ayah saya. Dia sangat aktif dalam tarian. Kemudian, ketika saya bermula, tarian adalah sesuatu yang buat saya gembira dan teruja," katanya.

Bapanya dahulu merupakan penari untuk tarian tradisional Melayu dan turut terlibat dalam teater. Dia kini menjadi pengarah di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di Johor.

Ketika dia menyatakan hasrat untuk melanjutkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, Nadhirah berkata bapanya pada mulanya sedikit ragu namun kemudiannya bersetuju selepas melihat dia begitu bersemangat.

Di Aswara-lah Nadhira mula terpikat dengan Bharatanatyam selepas menonton persembahan pelajar senior.

"Saya suka tariannya, yang ada persamaan dengan tarian tradisional Melayu, namun dari aspek teknikal ia lebih rumit," kata graduan Sarjana Muda Tarian itu.

Seorang penari versatil yang telah belajar banyak disiplin tarian, Nadhirah berkata Bharatanatyam memerlukannya untuk menguasai kemahiran yang lebih teknikal dan rumit, dan ia menjadi pemangkin untuk terus memajukan diri.

Imran Shafiq, yang mengiringi Nadhirah ketika wawancara, berkata dengan belajar pelbagai gaya, dia dapat bertukar dari satu bentuk tarian ke bentuk yang lain dengan mudah.

"Ia menjadikannya seorang penari yang lebih baik," kata Imran yang merupakan pengarah urusan di Ask Dance Company.

Nadhirah kini menjadi sebahagian daripada pasukan penari senior serta bahagian pemasaran Ask Dance Company.

Imran sendiri merupakan penari Bharatanatyam yang cukup dikenali dan dijadual mengadakan persembahan pada Julai ini.

'Saya hanya nak menari'

Apabila ada saja penari bukan India yang belajar dan mempersembahkan Bharatanatyam, pasti timbul persoalan berkenaan penerimaan budaya yang berbeza daripada latar belakangnya. Nadhirah juga tidak terkecuali.

Memandangkan bentuk tarian tersebut ada unsur Hinduisme, dia memberi jaminan kepada keluarganya yang dia tidak akan begitu mendalami sisi tersebut.

"Saya tunjukkan kepada mereka beberapa rakaman video. Saya beri jaminan yang saya hanya nikmati tarian dan pergerakannya," jelasnya.

Nadhirah sebelum ini telah turut serta dalam banyak penerbitan Aswara seperti Jamu, Gelombang Baru, TARI dan Main Zapin.

Dia juga antara lain mengadakan persembahan dalam acara anjuran MyDance Alliance, SoundDance by RAW Art Space dan Dancebox.

Dia juga pernah belajar dengan Hofesh Shecter - antara pereka tari kontemporari paling ternama di dunia - di Perth, Australia dan menjadi peserta Dansa Dansing, iaitu rancangan pertandingan tarian di televisyen tempatan.

Nadhirah berkata Malaysia memiliki legasi tarian yang cukup kaya namun tidak ramai yang menghargai seni tersebut.

"Ada cukup banyak jenis tarian yang ingin saya kuasai. Saya nak belajar semua jenis tarian yang ada di dunia ini. Saya hanya nak menari," katanya lagi.

[Baca berita asal]