Skip to main
Logo Malaysiakini

Masih diburu penyanyi dangdut, Iwan tetap kata 'no'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Lebih 10 tahun meninggalkan dunia muzik dan berhijrah ke 'dunia' baru, bekas penyanyi dangdut, Iwan Syahman, mengakui masih ada penyanyi dangdut wanita meminta dia menghasilkan karya untuk mereka.

Pun begitu dia lebih selesa menolak dengan baik semua permintaan berkenaan kerana berpegang pada pandangan yang mengharamkan wanita memperdengarkan suara dalam bentuk lagu dan irama.

Iwan yang terkenal dengan lagu Yang Sedang-Sedang Saja itu berkata, dalam banyak-banyak permintaan yang ditolak itu termasuklah daripada dua anaknya, Aprena Manrose, 30, dan Oktovia Manrose, 31.

“Memang no (tidak). Kalau dulu bolehlah,” katanya.

Bagaimanapun, Iwan, 62, mengunci mulut ketika ditanya siapakah gerangan penyanyi-penyanyi dangdut yang dimaksudkannya itu.

“Ada, tapi rahsia,” katanya.

Iwan berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian usahasama antara Kumpulan Angkasa Mukmin dan Batik Air Malaysia bagi program umrah sesi 2023 hingga 2024 di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini.

Kerjasama itu bertujuan memberikan pengalaman perjalanan selesa buat jemaah yang ingin melaksanakan umrah.

Iwan antara empat selebriti ditaja syarikat terbabit untuk menunaikan umrah pada penghujung Dis. Tiga artis lain ialah Mel Wings, Ali XPDC dan dR Sam.

Menurut Iwan, tindakannya itu dibuat sebagai salah satu cara dia mencari reda Tuhan.

Pernah terlepas peluang

Katanya, Tuhan mungkin hanya akan memberi seseorang manusia itu petunjuk sekali seumur hidup justeru dia enggan mensia-siakan peluang yang dikecapi itu.

“Kehidupan saya bukan macam dulu lagi. Allah bagi hint sekali saja. Kalau saya ulang balik macam dulu, tak tahu sama ada Allah boleh ampunkan atau tak.

“Sekarang yang saya inginkan adalah usaha berterusan untuk istiqomah agar jangan jadi macam dulu lagi.

“Semua manusia macam itu, cuma antara dia yakin atau tak saja. Jadi, carilah reda Allah agar kita selamat di akhirat,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai peluangnya menunaikan umrah, Iwan berkata, sebelum ini dia sudah terlepas peluang tiga kali untuk ke Tanah Suci.

Katanya, ia disebabkan faktor-faktor tertentu, misalnya masalah dokumen untuk visa disebabkan dia masih berstatus penduduk tetap di negara ini.

“Sebelum itu masalah Covid-19 pula.

“Kali ini, dengan izin Allah, saya berangkatlah. Insya-Allah semoga dipermudahkan urusan saya bersama ejen pelancongan ini,” katanya.