Skip to main
Logo Malaysiakini

Penyanyi era 80-an Rohana Jalil meninggal dunia

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penyanyi popular era 1980-an, Rohana Jalil, menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.33 malam tadi.

Berita dukacita itu disahkan oleh pengurusnya yang hanya mahu dikenali sebagai Jepun.

“Arwah sudah tidak sedarkan diri sejak tengah hari semalam.

“Selepas melihat keadaan arwah semakin kritikal, doktor meminta semua ahli keluarga berkumpul di hospital sejak jam 5 petang.

“Arwah pergi dengan tenang dan urusannya dipermudahkan," katanya dipetik BH Online.

Rohana, 68, dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak dua bulan lalu akibat masalah kebocoran usus.

Jepun memaklumkan jenazah arwah Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abdul Jalil akan dibawa ke Masjid Al-Falah, USJ9, Subang Jaya untuk urusan solat jenazah manakala disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ21, Subang Jaya sebelum waktu Zuhur.

Terdahulu, keadaan arwah dilaporkan semakin lemah dan terpaksa diletakkan di wad pemantauan.

Kebocoran usus dialami Rohana, 68, kata Jepun, mengakibatkan kuman merebak ke beberapa organ utama seperti paru-paru dan buah pinggang.

“Doktor kata ada potensi untuk jantungnya berhenti pada bila-bila masa berikutan kuman sudah merebak, ia juga disebabkan faktor usia," katanya.

Penyanyi asal Kota Tinggi, Johor itu mula menceburkan diri dalam bidang seni selepas dia memenangi pertandingan Bintang RTM pada 1980.

Sepanjang empat dekad berkecimpung dalam bidang muzik, Rohana pernah merakamkan lebih 20 album termasuk jenis kompilasi dan projek khas.

Antara lagu popularnya, Rayuan Ku, Resah Ku, Kerana Dia Kita Terpisah, Faez dan Jauh Terkenang.

Allahyarham meninggalkan suami, Jahangir Khan dan tiga cahaya mata perempuan.

Seorang daripada anak Rohana, Syakila Nisha atau nama pentasnya Kilafairy turut mengikut jejak langkahnya menjadi penyanyi.