Skip to main
Logo Malaysiakini

MBPJ giat usaha jadikan Petaling Jaya kota seni

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sudah mengatur sebanyak 21 program sepanjang Jun ini bagi mempromosikan Petaling Jaya atau sebagai Kota Seni.

Justeru, Datuk Bandar Mohamad Azhan Md Amir berkata acara kemuncak perasmian sambutan ulang tahun MBPJ ke-17 dijadual berlangsung di hadapan ibu pejabat pihak berkuasa tempatan itu di Jalan Yong Shook Lin, bermula jam 8 malam esok.

Mohd Azhan berkata, MBPJ mempergiatkan usaha mempromosikan Petaling Jaya sebagai Kota Seni dengan mengambil kira ia sebagai sebuah bandar raya yang inklusif.

“Program dan aktiviti yang diatur melibatkan penyertaan dan memberi manfaat kepada semua peringkat komuniti.

“Acara perasmian turut diserikan dengan persembahan istimewa oleh Firman dan Nabila Maharani dari Indonesia, di samping Neeta Manis, Mr 5k dan Aliff Aziz,” katanya.

Menurut Mohamad Azhan, buat julung kalinya juga pada malam esok akan diadakan pertandingan bagi acara perarakan membabitkan kategori agensi/badan kerajaan; korporat; majlis perwakilan penduduk/persatuan dan universiti/kolej.

Pertandingan itu katanya, menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM6,500, selain sijil dan hadiah iringan.

“Majlis awalnya menyasarkan 16 pasukan bakal menyertai pertandingan tapi kami tak menduga ia telah menarik penyertaan 18 pasukan setakat ini.

“Suka saya maklumkan, perarakan tahun ini juga akan turut disertai Sahabat Radio Suria FM dan Sahabat Motorsikal MBPJ,” katanya.

Pemenang keseluruhan bakal menerima hadiah wang tunai RM3,000, manakala pemenang tempat pertama diperuntukkan RM1,500 diikuti dengan RM1,000 di tempat kedua dan RM500 ketiga. Hadiah RM500 juga menanti pemenang kostum terbaik.

Pelaksanaan program juga, kata Mohd Azhan bertumpu di Taman Bandaran Kelana Jaya, The Spine, Dewan D’Kelana, selain lokasi utama di Laman MBPJ, Dataran Boulevard dan Pusat Bandar Seksyen 52.

“Pemilihan lokasi ini selaras dengan hasrat MBPJ menghidupkan persekitaran Pusat Bandar Seksyen 52 dan seterusnya mempergiatkan usaha mempromosi Petaling Jaya sebagai Kota Seni,” jelasnya.

Selain itu, katanya, sambutan tahun ini juga menyaksikan Laman MBPJ di Lorong Tengah dan sekeliling Menara MBPJ, Dataran Boulevard dan sebahagian Jalan Yong Shook Lin, Jalan Selangor dan Jalan Sultan bermandi cahaya oleh lampu hiasan pada malam.

Mohamad Azhan berkata, program jualan dan pameran, pertandingan, kejohanan, agihan sumbangan dan khidmat percuma diatur MBPJ bagi mendekatkan diri dengan komuniti setempat.

"Saya berharap MBPJ menjadi pihak berkuasa tempatan yang memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk serta menjadi contoh kepada agensi kerajaan mahupun swasta.

“Kenalilah Petaling Jaya sebagai bandar raya maju dan sejahtera selaras pelan strategik PJ Smart, Sustainable and Resilience (PJSSR) 2030,” katanya.