Skip to main
Logo Malaysiakini

600 tetamu saksikan ijab kabul Shuib, Watie

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Juruhebah radio dan usahawan Shuib selamat diijabkabulkan dengan wanita pilihan hatinya, Watie Hanifiah dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis di Putra Glass Hall, Shah Alam jam 8.47 malam tadi.

Pasangan itu dinikahkan oleh abang pengantin perempuan Qadhaffi Hanifiah di hadapan Penolong Pendaftar Pernikahan Masjid Hidayatul Muttaqin, Kampung Bukit Lanchung, Selangor, Zubairi Ghazali.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad menyerahkan mas kahwin sebanyak RM8,288 manakala, wang hantaran dirahsiakan.

Dalam majlis itu, pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh oleh pengantin perempuan.

Pasangan pengantin tampil anggun menggayakan rekaan persalinan oleh Fizi Woo.

Majlis pernikahan yang diadakan bertemakan ‘dusty pink’ atau mutiara itu dihadiri oleh 600 orang tetamu yang terdiri daripada keluarga terdekat dan rakan kedua-dua belah pihak.

Walaupun tanpa majlis resepsi, majlis Shuib dan Watie itu mendapat tajaan keseluruhan bernilai RM1.7 juta, termasuk tajaan barang kemas.

Shuib dan Watie atau nama penuhnya, Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah mengikat tali pertunangan pada 6 Mei lalu dalam sebuah majlis tertutup di Shah Alam dihadiri keluarga terdekat.

Ini adalah perkahwinan kedua Shuib selepas pemergian isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada 9 Ogos 2021.

Hasil perkahwinan Shuib dengan Siti Sarah, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu, Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2 tahun.