Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada permohonan diterima Puspal untuk Apology Tour Jocelyn Chia

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) tidak ada menerima atau meluluskan permohonan persembahan Apology Tour di Live House Kuala Lumpur oleh komika Jocelyn Chia dan Chrissie Mayr.

Unit di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) itu berkata demikian susulan tular hantaran pemilik akaun Instagram @chrissiemarypod di media sosial mengenai persembahan berkenaan yang didakwa bakal berlangsung pada 26 Ogos ini.

“Mana-mana kemasukan bagi artis luar negara atau penggambaran filem asing di Malaysia, permohonan perlu dikemukakan kepada Puspal bagi tujuan penilaian sebelum dipertimbangkan untuk kelulusan,” kata agensi itu dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan rancangan komika kontroversi, Jocelyn dan rakannya Chrissie Mayr untuk mementaskan persembahan Apology Tour Live House Kuala Lumpur.

Bagaimanapun ia mendapat bantahan ramai.

Jocelyn sebelum ini mengundang marah rakyat Malaysia selepas mempersenda tragedi pesawat udara MH370 selain memperlekeh negara ini, antara lain sebagai negara kelas ketiga.

Chrissie pula mengeruhkan lagi keadaan apabila menyatakan sokongan padu kepada Jocelyn dan pada masa sama menghina netizen Malaysia di media sosial.

Singapura sudah memohon maaf atas keceluparan Jocelyn dan menegaskan pelawak itu bukan lagi rakyat republik berkenaan.

Polis Diraja Malaysia pula membuat permohonan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan pelawak kelahiran Singapura berkenaan bagi membantu siasatan berhubung klip video yang tular di media sosial.

Puspal dalam kenyataan sama juga mengingatkan sebarang persembahan di negara ini wajib untuk mendapatkan kebenaran terlebih dulu.

“Sebarang hebahan, promosi serta jualan tiket tidak boleh dilakukan sebelum memperoleh kebenaran daripada pihak berkuasa termasuklah surat kelulusan Puspal,” katanya.