Skip to main
Logo Malaysiakini

Islamofobia di AS: Zahid petik dialog filem Shah Rukh Khan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memetik dialog salah sebuah filem Shah Rukh Khan untuk menegaskan bahawa nama seseorang Muslim tidak wajar meletakkan individu itu sebagai suspek pengganas.

Dipercayai mendapat inspirasi daripada filem My Name Is Khan, Ahmad Zahid memberitahu suatu persidangan di Kuala Lumpur hari ini mengenai namanya.

“Nama saya Ahmad, tetapi saya bukan terrorist (pengganas)," katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBINAA) Asia Pasifik ke-23, hari ini.

My Name Is Khan ialah sebuah filem diarahkan oleh Karan Johar menampilkan Shah Rukh Khan sebagai hero berpasangan dengan Kajol.

Ia mengisahkan seorang lelaki Muslim yang mengalami autisme berkunjung ke AS untuk bertemu dengan presiden negara itu bagi merungkai isu Islamofobia kesan insiden serangan pengganas pada 11 Sept 2001.

Dialog diucapkan Shah Rukh Khan itu - My name is Khan and I am not a terrorist - adalah salah satu babak yang menunjangi filem terbitan pada 2010.

Terdahulu Ahmad Zahid ditanya mengenai laporan sebuah kumpulan Islam di AS yang mendedahkan, lebih 98 peratus nama dalam senarai pemantauan FBI terdiri daripada nama orang Islam.

Memetik suatu laporan, agensi berita Turki, Anadolu, dikatakan menyasarkan umat Islam sebagai data bagi pangkalan maklumat pemantauan mereka.

Laporan bertajuk Twenty Years Too Many, A Call to Stop the Secret Watchlist FBI itu dikeluarkan Majlis Hubungan Amerika-Islam AS pada Isnin lalu.

Kata ahli parlimen Bagan Datuk itu, menganggap seseorang sebagai penganas hanya kerana dia mempunyai nama Islam adalah isu salah tafsiran dan prasangka.

"Apa yang berlaku tersebut adalah salah tafsiran dan sekadar satu prasangka.

"Pada dasarnya, bukan nama Islam seperti Muhammad atau Ahmad dikategorikan sebagai pengganas," katanya.

Dia juga menegaskan Malaysia memang menghargai Rumah Putih yang memandang serius isu tersebut.

"Polisi kerajaan AS amat jelas dan ia tidak ada prasangka perkauman atau agama yang berbeza.

“Saya berpandangan persepsi dan tafsiran yang menjejaskan agama Islam itu perlu dibuang,” katanya.