Skip to main
Logo Malaysiakini

Awie harap Aidiladha temukan semula anak lepas 8 tahun

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perayaan Aidiladha yang akan disambut esok bakal mengakhiri penantian lapan tahun penyanyi dan pelakon Awie untuk bertemu dua anaknya yang sudah lama terpisah.

Kata Awie, selepas dua bulan merancang dan sekiranya ditakdirkan, dia mungkin berpeluang untuk meraikan kedatangan Hari Raya Korban itu bersama Putra Ahmad Rezzki, 15, dan Puteri Qaseh Antasha, 17 - yang berada bawah jagaan bekas isteri, Rozana Misbun.

“Tahun ini mungkin saya akan dapat berjumpa dengan anak-anak yang dah terpisah lapan tahun. Jadi, Raya Haji kali ini akan jadi yang amat bermakna buat saya.

“Kalau ikut perjanjian begitulah,” kata vokalis Wings itu.

Berkongsi perkara berkenaan, Awie atau nama asalnya Ahmad Azhar Othman bersyukur apabila doanya di Tanah Suci Mekah sewaktu mengerjakan umrah pada Ramadan lalu dimakbulkan Tuhan.

Awie, 54, berkata, dia tidak dapat menahan sebak di dada apabila menerima mesej pesanan ringkas daripada salah seorang anaknya iaitu Puteri Qaseh sebaik pulang ke tanah air.

“Kami lapan tahun tak berhubung langsung. Saya pun tak ada nombor telefon dia. Tapi apabila saya pulang ke Malaysia, saya baca satu mesej yang berbunyi; Assalamualaikum Daddy, ini Qaseh. Qaseh rindu Daddy.

“Masa itu juga berderai-derai air mata saya keluar,” katanya sambil menahan sebak.

Awie berkata demikian selepas berakhirnya tayangan filem pertama terbitan syarikat produksinya, Sue-On di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya semalam.

Karya genre seram komedi yang mendapat arahan Razif Ajiboy Rashid itu dibintangi barisan pelakon seperti Awie sendiri, Reen Rahim, Ropie, Azlee Senario, Nazia Mustafar, Achey, dan Shawani.

Sue-On terbitan Rumah Produksi Merah itu dijadual menjengah pawagam di seluruh negara pada 6 Julai ini.

Sue-On berkisahkan hantu Korea yang sering mengganggu manusia dengan mengeluarkan dirinya dari kaca televisyen (TV). Namun, nasib tidak menyebelahi Sue-On. Selepas keluar dari skrin TV, Adam yang dimarahi oleh bapanya kerana menonton TV dengan begitu lama mematikan alat berkenaan.

Ia sekali gus membuatkan Sue-On terperangkap dan tidak boleh pulang ke tempat asalnya. Sue-On berusaha sedaya upaya untuk mencari jalan pulang ke tempat asalnya dengan mencari sesiapa saja yang sedang menonton filem Sue-On.

Putra Ahmad Rezzki dan Puteri Qasseh adalah hasil anak melalui perkahwinan Awie yang kedua. Awie dan Rozana mendirikan rumah tangga pada 20 Jun 2005.

Pasangan itu kemudian bercerai secara sah pada 1 November 2014. Selain Putra Ahmad Rezzki dan Puteri Qasseh, seorang lagi anak daripada perkahwinan sama, iaitu Putra Ahmad Merrah, 17, menetap bersama penyanyi itu. 

Awie sebelum itu mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Arni Nazira Anuar pada 1998. Perkahwinan itu hanya bertahan lapan tahun. Awie dan Arnie dikurniakan dua anak perempuan iaitu Puteri Aleeya Antasha, 22, dan Puteri Aleefa Antasha, 20. 

Penyanyi Opera Hidup berkenaan kemudian mendirikan rumah tangga bersama Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin pada 7 Oktober 2016. Melalui perkongsian hidup itu, Awie dan pasangannya dikurniakan seorang cahaya mata, Putra Ahmad Andeeka, 2 tahun.

Bagaimanapun, Awie tidak dapat memberikan butiran lanjut mengenai pertemuannya dengan Putra Ahmad Rezzki dan Puteri Qaseh kerana ia belum dimuktamadkan.

Namun, dia meletakkan harapan besar untuk bertemu dengan mereka.

“Belum tahu lagi perancangannya macam mana iaitu sama ada dia akan beraya dengan saya untuk berapa lama atau jika ingin beraya di luar saja.

“Jika dapat sambut raya kali ini hanya setengah hari dengan mereka pun sudah cukup bagi saya,” katanya.