Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Rakyat memerlukan menteri yang bukan selebriti

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOMENTAR | Apa yang lebih merosakkan sesebuah negara? Rasuah yang bermaharajalela semata-mata, atau ketidakcekapan perdana menteri dan kabinetnya?

Keadaan ringgit Malaysia dalam separuh pertama 2023 mencatatkan kejatuhan terbesar berbanding negara lain di Asia apabila mencatat penurunan sehingga 5.8 peratus disebabkan oleh aliran keluar modal.

Prestasi penurunan hampir 6 peratus pada separuh pertama 2023 itu menjadikan Malaysia sebagai negara pendahulu dalam kejatuhan mata wang di Asia.

Walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini mengaitkan punca penyusutan itu berpunca daripada ketidaktentuan ekonomi global - seperti isu siling hutang AS serta tekanan pada sektor perbankan Eropah dan AS - namun harus kita ingat bahawa kali terakhir ringgit diniagakan ialah pada RM4.67 berbanding AS$1 dan menghampiri paras terendah dalam tempoh lapan bulan.

Anwar Ibrahim pernah berkata kejatuhan nilai mata wang ringgit dipengaruhi oleh kadar faedah negara yang terlalu rendah selain masalah dasar AS serta kekangan antarabangsa.

Dia juga pernah berkata rasuahlah yang menjahanamkan negara dan menyebabkan kejatuhan nilai ringgit Malaysia.

Namun apakah rasuah yang pernah bermaharajalela saja akan merosakkan sesebuah negara? Atau apakah ketidakcekapan seorang perdana menteri dan sekumpulan orang yang menganggotai kabinet juga mampu menjahanamkan negara?

Belum ada penjelasan wajar

Sewaktu perdana menteri ke-10 itu berkata rakyat miskin akan diupah untuk menimbulkan kekacauan serta mendakwa dia menerima ugutan daripada 'geng kaya' yang berpakat untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan, pasaran saham tempatan terus jatuh sehingga 7.7 peratus dalam tempoh lapan bulan.

Ia sekali gus mencatatkan prestasi saham terburuk di rantau Asia.

Sebagai warganegara Malaysia yang berideologikan permainan politik waras kita mungkin saja boleh berpegang pada pandangan BNM bahawa prestasi ringgit berbanding dolar AS atau mana-mana mata wang bukanlah penanda aras prestasi ekonomi negara.

Bahkan bank pusat itu menjangkakan ekonomi negara akan terus berkembang empat hingga lima peritus lagi pada tahun ini.

Kita yang mahu meraikan permainan politik matang tentu saja menolak permainan sentimen berbaur perkauman, agama dan institusi diraja.

Akan tetapi peringatan keras dan amaran tegas yang dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil di TikTok baru-baru ini sungguh tidak wajar.

Selaku menteri, Fahmi seharusnya berdepan dan menjawab isu-isu yang lebih utama seperti sekatan terhadap portal berita yang masih belum mendapat penjelasan sewajarnya.

Menunggang basikal dalam pejabat dan melatah tanpa usul periksa terhadap media yang melaporkan jangkaan penganalisis adalah bukti ketidakcekapan yang sangat nyata.

Ketika ekuiti Malaysia berada pada situasi terburuk dan mata wang negara lain semakin memulih, negara kita masih berdepan dengan bermacam kekaburan.

Puncanya ialah wujudnya anggota kabinet yang tidak kompeten.

Boleh jadi ada yang berpendapat tulisan ini janggal kerana mengaitkan ketidakcekapan seorang menteri dengan isu mata wang dan ekonomi.

Sebenarnya ia menjadi begitu kerana terlalu banyak masa sudah dibazirkan oleh seorang menteri komunikasi ketika dia sepatutnya memanafaatkan pelbagai potensi agar aspek kebudayaan dan kesenian diberi lebih perhatian.

Kita tahu sumber paling asas bagi ekonomi - iaitu tenaga buruh, modal dan sumber asli - sudah ada di negara ini.

Manfaatkan potensi yang ada

Cuma entah mengapa menteri yang pernah terlibat dalam bidang teater dan perfileman masih semacam enggan meneroka.

Filem berupaya menjana pertumbuhan ekonomi negara melalui peluang pekerjaan yang boleh teroka dengan lebih berani lagi dalam pengeluaran, pembikinan, penayangan, pengedaran, video atas permintaan (VOD), penstriman, merchandising dan pelbagai saluran pengedaran tempatan dan antarabangsa serta pelbagai aktiviti lain yang berkaitan seperti kegiatan arkib, restorasi dan festival.

Secara tidak langsung pendapatan yang dihasilkan dari sana akan dikembalikan ke dalam kitaran sistem ekonomi negara melalui pelbagai hasil cukai dan juga perbelanjaan yang dibuat bagi menghasilkan sesebuah filem bermutu.

Lebih daripada itu industri filem - yang tak dipandang oleh menteri itu - bisa saja menjana peluang ekonomi lain seperti pelancongan yang akan memanafaatkan banyak pengusaha hotel, pekedai dan restoran.

Ya, kita tahu rasuah boleh meruntuhkan sesebuah negara. Benar, tanpa tadbir urus yang baik Malaysia tidak akan kemana-mana.

Tetapi kita juga perlukan barisan menteri yang kompenten, yang tahu bagaimana untuk memanafaatkan potensi di bawah kementerian masing-masing.

Rakyat pada kala ini mahukan seorang perdana menteri dan menteri kewangan yang banyak mengeluarkan bermacam pelan ekonomi drastik serta strategi radikal dalam menangani isu-isu ekonomi negara.

Ketidakcekapan seorang perdana menteri dan menterinya hanya akan menjebakkan negara ke gerobok retorik lama yang rakyat tahu dijual hanya untuk menang pilihan raya.


HARIS HAUZAH ialah seorang rakyat biasa yang tiak menganggap dirinya kutu atau ulat.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.