Skip to main
Logo Malaysiakini

Agong kurnia gelaran Datuk pada Fauziah Nawi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pelakon veteran Fauziah Nawi memanjatkan kesyukuran selepas dikurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Saya ingin memanjatkan kesyukuran atas kurniaan gelaran Datuk dari Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dikurniakan hari ini,” katanya.

Lima dekad mewarnai dunia hiburan, nama Fauziah Nawi, 70, bukan asing dalam industri seni tanah air.

Bekas juruhebah radio, pengarah dan pelakon itu dinobatkan Tokoh Seri Angkasa 2022 pada Anugerah Seri Angkasa yang berlangsung Oktober tahun lalu.

Fauziah yang juga tenaga pengajar seni lakon itu pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik untuk filem Sayang Salmah dan drama Mendung Tidak Berarak Lagi.

Selain Fauziah, Sultan Abdullah hari ini turut berkenan mengurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk kepada Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) Izham Ismail.

Dua tokoh itu mendahului senarai 297 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong 2023 pada istiadat pengurniaan di Istana Negara.

Terdahulu Fauziah menerima Darjah Kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM) bagi kategori penggiat seni sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Abdullah Jun lalu.

Fauziah dalam kenyataannya di media sosial itu turut berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakannya selama ini.

“Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang menghantar ucapan tahniah.

“Namun, saya minta maaf tak dapat jawab semua, jangan terasa hati,” katanya.