Skip to main
Logo Malaysiakini

Rafizi, menteri Mosti bersama Fazura jadi juri realiti TV

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dengan kerjasama Astro mengetengahkan program realiti buat julung kali yang akan memaparkan kemahiran dan idea inovatif dalam kalangan rakyat Malaysia bagi mencari penyelesaian isu berteraskan sosiekonomi.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata pertandingan melalui program Innovathon itu menterjemahkan sains, teknologi dan inovasi kepada sesuatu yang boleh diterima umum.

“Sekiranya kerajaan menggunakan pendekatan sama seperti kempen biasa, berkemungkinan misi program seperti ini takkan sampai kepada sasaran.

“Inovasi perlu membabitkan seberapa ramai individu.

“Jadi, misi kita adalah bagaimana untuk menterjemahkan inovasi menjadi sesuatu yang boleh diterima dalam bentuk pembelajaran,” katanya.

Menurut Rafiz, Innovathon disifatkan sebagai satu platform terbaik untuk peserta meluaskan idea sekaligus melebarkan sayap inovasi mereka dalam reka cipta.

“Peserta-peserta ada platform untuk membesarkan pasaran walaupun mereka tak menang.

“Jika idea itu bagus, mereka akan mendapat ‘air time’ (waktu tayangan).

“Selain itu, peserta juga akan dapat maklum balas secara langsung daripada agensi kerajaan atau mereka yang berkepakaran,” katanya.

Rafizi berkata demikian pada majlis pelancaran Innovathon yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, Menteri Mosti Chang Lih Kang dan Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad.

Program Innovathon membariskan barisan juri tetap, Rafizi, Chang dan Fazura (gambar, bawah) bersama 100 juri awam terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Program yang akan mula bersiaran pada 15 Julai di saluran Astro Ria itu juga bakal menggandingkan pengacara Awal Ashaari dan Lisa Surihani.

Innovathon menawarkan hadiah utama bernilai RM100,000, tidak termasuk bantuan permulaan daripada kerajaan sendiri.

Mengulas keberkesanan Innovathon, Rafizi berkata biarlah program itu sendiri yang ‘berbicara” melalui episod yang bersiaran pada setiap minggu.

Chang (gambar, bawah) pula berkata pertandingan itu berjaya meraih lebih daripada 1,000 penyertaan.

Justeru, menurutnya, ia satu impak yang dilihat amat positif.

“Saya terkejut kerana ini respons yang memberangsangkan.

“Kalau nak sebut mana satu idea paling diingati itu satu perkara yang sukar kerana memang kami terima banyak idea yang menarik.

“Ini satu tugas yang berat untuk Mosti,” kata Chang.

Sementara itu, Raqim (gambar, atas) berharap Innovathon boleh menjadi platform untuk memupuk semangat berinovasi dalam kalangan masyarakat.

“Kita tak ada peserta dalam kalangan selebriti tapi ada peserta paling senior yang berusia 73 tahun.

“Pada usia begini, saya teruja mereka yang masih nak berinovasi,” katanya.