Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengarah Malaysia menonjol di festival filem Korea

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Tiga pengarah baru Malaysia mendapat sambutan baik di Bucheon International Fantastic Film Festival (Bifan) yang merupakan acara filem genre terbesar di Asia.

Amanda Nell Eu, Cho We Jun, dan Ananth Subramaniam mencuri tumpuan di festival filem Korea Selatan itu dengan projek masing-masing.

Eu, yang baru-baru ini menang hadiah utama minggu pengkritik di Cannes untuk filem pertamanya Tiger Stripes, meneruskan 'jelajah' festival filemnya.

Tayangan perdana Tiger Stripes di Korea minggu ini mendapat tontonan penuh dan mendapat pujian pengarah festival Shin Chul dan pengarah program Ellen Kim yang menyifatkannya sebagai "debut yang hebat".

Bagi Eu, Bifan boleh dianggap satu kepulangan buat Tiger Stripes memandangkan inisiatif festival itu, NAFF merupakan penyokong awal penting filem tersebut semasa peringkat pembangunannya.

"Projek ini bermula hanya dengan penerbit, Foo Fei Ling serta saya, dan kami sedar yang kami perlu lebih banyak belajar tentang pembangunan dan penerbitan bersama di peringkat antarabangsa.

"NAFF merupakan pengenalan yang bagus untuk pasaran genre bagi kami, untuk berhubung dengan begitu ramai orang yang memberi tumpuan kepada genre dalam industri ini dan melihat pelbagai kemungkinan yang ada untuk kami dalam pasaran," kata Eu.

Amanda Nell Eu

Sementara itu, Hungry Ghost Diner, filem pertama dari pengarah Cho We Jun, membuat tayangan perdana antarabangsa di Bifan.

Dibintangi oleh bakat- bakat tempatan Chen Keat Yoke, Eric Chen Puie Kong, Sam Chong, Fabian Loo, Chen Puie Heng dan Joyce Hon, Hungry Ghost Diner membawa penonton ke dunia roh dan kulinari yang memikat.

Ia berkisar tentang seorang pengendali trak makanan bernama Bonnie, yang terperangkap di kopitiam lama milik keluarganya di Stesen Behrang yang terletak di pedalaman semasa kawalan pergerakan Covid-19 yang tak dijangka.

Dia tidak menyedari bahawa kedai makan keluarganya akan dihantui roh saudara-saudaranya yang telah meninggal dunia.

Selepas tayangan filem, sesi soal jawab diadakan bersama barisan pelakon dan pengarah, dengan penonton yang kebanyakannya warga Korea menunjukkan minat mereka tentang perayaan festival Cina yang disambut oleh komuniti di Malaysia.

Chen yang memegang watak utama menyatakan pada awalnya dia ragu dengan penerimaan filem itu dalam kalangan penonton Korea disebabkan perbezaan bahasa dan budaya. Namun keraguan itu serta-merta hilang setelah ia menerima sambutan yang hangat.

Penerbit Benji Lim juga terharu dengan respons di festival tersebut.

"Sejujurnya, ketika kami pertama kali membangunkan Hungry Ghost Diner, sedikit pun saya tidak pernah terfikir ia akan dibawa di peringkat antarabangsa, apatah lagi ada tarikan antarabangsa. Kami berterima kasih kepada Bifan kerana memberi kami platform ini," ujar Lim.

Pengaturcara festival, Cho Jaewhee memuji perspektif filem tersebut yang "ada kala lucu dan ada kala penuh empati" dan kerana "membawakan sentuhan unik yang membezakannya dengan filem seram biasa yang menggambarkan hantu sebagai hal menakutkan".

Hungry Ghost Diner dijangka untuk ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia pada 10 Ogos 2023.

Ketika festival sampai ke penghujungnya, pengarah The Passport, Ananth Subramaniam diumumkan sebagai pemenang Anugerah Bucheon, hadiah tertinggi di projek pasaran Network of Asian Fantastic Films (NAFF) dengan keputusan sebulat suara oleh juri.

Drama komedi gelap itu akan menerima hadiah wang tunai berjumlah KR₩15 juta (RM53,000) dan sokongan berbentuk perkhidmatan daripada makmal produksi.

The Passport adalah filem berbahasa Tamil yang berlatarkan tahun 1970-an, mengisahkan kehidupan seorang pemuzik punk rock India yang tidak mampu mengimbangi tradisi dan identiti, yang mencetuskan kemunculan seorang kawan imaginari tanpa diundang.

Subramaniam, seorang alumni festival filem Locarno dan pemenang hadiah utama BMW Shorties 2018, menyifatkan projek itu sebagai "perbualan yang ingin saya mahu tentang hubungan antara ibu bapa dan anak dan betapa mereka sering gagal mencari persamaan antara sistem kepercayaan mereka."

Filem ini dijangka memasuki fasa produksi pada awal tahun 2025.

[Baca berita asal]