Skip to main
Logo Malaysiakini

Robert De Niro amat tertekan kematian mengejut cucu

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bintang Hollywood, Robert De Niro mengakui dia sekeluarga masih berada dalam keadaan sedih dan tertekan selepas mengetahui kematian mengejut cucu lelaki mereka, Leandro De Niro Rodriguez, pada 2 Julai lalu.

Justeru, De Niro meminta semua pihak memberi mereka ruang privasi terutama buat anak perempuannya, Drena De Niro.

“Saya amat tertekan dengan pemergian cucu kesayangan saya, Leo.

“Kami amat menghargai setiap doa dan ucapan takziah daripada semua pihak.

“Beri kami ruang privasi untuk meratapi kehilangan Leo terutama Drena yang masih cuba menerima pemergian mendadak anaknya itu,” katanya dipetik Fox News Digital.

Leandro - yang dipanggil Leo dalam kalangan keluarga - ditemui kaku tidak bernyawa pada di sebuah kondominium mewah di bandar raya New York awal bulan ini.

Bagaimanapun punca kematian pemuda berusia pada usia 19 tahun itu masih disiasat.

Leandro De Niro Rodriguez

Leandro dilahirkan anak angkat De Niro, Drena, 51, bersama pasangannya Carlos Rodriguez.

Sementara itu, Drena turut meluahkan kepiluannya dalam satu kenyataan di Instagram semalam.

Katanya, dia hampir tidak dapat membuat sebarang coretan kerana lelehan air mata.

“Tapi semua kasih sayang, mesej, panggilan, teks, e-mel, rakan dan keluarga membantu saya bertahan untuk tempoh 24 jam.

“Saya masih belum dapat membalas kesemuanya namun kami bersyukur kerana dapat segala kasih sayang dari anda.

“Apa yang berlaku tak terasa betul dan adil, hati saya terluka dalam cara yang tak dapat saya bayangkan,” katanya.

Drena yang juga aktres dan pembikin filem itu berkata dia akan mengenang Leo sama seperti waktu melahirkan anaknya dulu.

“Leo, saya sayang kamu sama seperti hari pertama saya memegang kamu ketika berada dalam dakapan saya.

“Saya akan mengingati setiap detik bersama awak biarpun hati saya hancur selamanya,” katanya.