Skip to main
Logo Malaysiakini

Yantzen masih teringin buat aksi terbalik kuang

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penyanyi rock popular, Yantzen, mengakui dia rindu untuk kembali beraksi lincah di atas pentas seperti apa yang pernah dilakukannya suatu ketika dulu.

Pun begitu, kata Yantzen, keinginan itu memang terbatas oleh faktor usia selain dia kini bertarung dengan 'penyakit misteri' sejak beberapa bulan lalu membabitkan bahagian kakinya.

“Sudah tentu saya merindui saat itu semua. Dulu semasa muda-muda kalau nampak tiang, saya dah panjat semua itu atau buat aksi somersault (balik kuang).

“Saya memang akan ke sana ke mari di atas pentas supaya peminat boleh beri tumpuan pada saya dan lupakan muzik,” ujarnya.

Vokalis Rusty Blade itu berkata, disebabkan faktor kesihatan dia terpaksa mengubah rentak sewaktu menghiburkan peminat iaitu dengan beraksi berhampiran mikrofon saja.

"Nak buat macam mana, usia dah 65 tahun, tenaga juga dah tak sama, manakala dari segi nyanyian pula, saya perlu kurangkan banyak key tapi mengambil pendekatan untuk fokus pada pernafasan.

“Kalau mampu kekalkan stamina, insya-Allah saya boleh kawal vokal dengan baik,” katanya.

Yantzen atau nama penuhnya Yantzen Juniwan ditemui pada sidang media pengumuman Konsert Rock Dulu Dulu di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Hulu Kelang semalam.

Konsert anjuran Lowcost Fiesta Tour dengan kerjasama Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) itu dijadual menemui peminat di Padang Kunak, Sabah 25 hingga 30 Ogos ini.

Terdahulu, Yantzen mendedahkan dia sudah lama menanggung penyakit misteri yang bukan saja menyebabkan dia sakit kaki malahan turut mengakibatkannya sukar tidur malam.

Walaupun sudah melakukan pemeriksaan doktor, peserta program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh itu menjelaskan, dia gagal mendapat jawapan bagi merungkai jenis penyakit yang dihidapi.

Justeru, katanya, dia kini berikhtiar pula melalui penggunaan ubat-ubatan tradisional bagi mengurangkan sakit tersebut.

Mengulas pembabitannya dalam Konsert Rock Dulu Dulu, Yantzen berkata, dia akan membuat persembahan selama sejam dengan membawa lagu-lagunya yang pernah digemari ramai suatu ketika dulu.

“Kebetulan, nasib saya baik apabila ditawarkan untuk menyertai konsert ini.

"Antara lagu-lagu akan saya bawakan seperti Meniti Suratan, Tiada Lagi dan Insan,” katanya.

Selain Yantzen, konsert berkenaan akan turut dijayakan oleh barisan penyanyi lain seperti Zamani Slam, Lan Solo, Hatta Junction, Acheed Def Gab C, dan Alim Kris.