Skip to main
Logo Malaysiakini

Laporan psikiatri sahkan Yasin hidap bipolar, tak waras ketika kejadian

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Mahkamah Seksyen Petaling Jaya hari ini diberitahu laporan psikiatri Muhammad Yasin Sulaiman yang dikeluarkan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak antara lain mengesahkan penyanyi dan komposer itu tidak waras ketika kejadian membabitkan dadah, tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin dalam sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Nik Nasimah Nik Mohammad, berkata keadaan mental Yasin bagaimanapun bertambah baik sekali gus layak dibicarakan dan boleh membela diri atas tuduhan kes tersebut.

“Ada tiga kesimpulan, pertama tertuduh disahkan menghidap penyakit bipolar dan hyperthyroidism (gangguan mental). Saya secara ringkas merujuk kepada laporan itu dan disahkan tertuduh tidak waras ketika kejadian.

“Ini perkembangan baru bagi pihak pendakwaan dan saya diarahkan oleh pihak pendakwaan Selangor untuk memohon satu lagi tarikh sebutan.

“Saya perlu dapatkan arahan baru daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan perkembangan itu. Sekiranya diberikan tarikh sebutan baru, mohon sebulan dari hari ini,” katanya seperti dipetik BH Online.

Pada 8 Mei lalu, mahkamah memerintahkan penyanyi nasyid itu dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk diperiksa tahap kesihatan mentalnya.

Hakim membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan peguam bela Muhammad Yasin, Ariff Azami Hussein, mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Pada 31 Mac tahun lalu, Yasin, 48, didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac tahun sama.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Mimpi Laila itu terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Majistret melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan berkenaan sebelum didakwa atas tuduhan memiliki ganja.

Yasin juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Sementara itu, Ariff Azami berkata laporan perubatan berkenaan mengesahkan dua perkara penting iaitu anak guamnya tidak waras ketika kejadian dan layak dibicarakan.

“Kami percaya perbicaraan terhadap tertuduh boleh diteruskan seperti dimaklumkan pendakwaan, bicara secara formal mengikut Bab 33 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) supaya akhirnya satu perintah di bawah Seksyen 347 CPC iaitu penghakiman pembebasan atas alasan gangguan mental dapat dikeluarkan.

“Perintah akhir di bawah Seksyen 348 CPC di mana pesakit dihantar semula untuk diubati hingga diperakui sihat oleh lembaga perubatan.

“Tiada bantahan untuk satu lagi tarikh sebutan kes namun bagi menjimatkan masa, mohon tarikh bicara seawal mungkin selama dua hari,” katanya lagi.

Hakim menetapkan 9 Ogos untuk sebutan semula kes, manakala 28 serta 29 Ogos ini untuk bicara.