Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas penyampai berita, Ras Adiba sertai Bersatu

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bekas senator dan penyampai berita rangkaian media, Media Prima, Ras Adiba Radzi menyertai Bersatu dan menerima watikah keahliannya, malam tadi.

Portal Berita Harian Online melaporkan watikah berkenaan disampaikan oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin di Seremban.

"Saya sudah memikirkan beberapa minggu untuk menyertai Bersatu, walaupun sebelum ini ramai kalangan sahabat handai yang mempelawa untuk menyertai Bersatu.

"Selepas mengamati keadaan politik di negara kita, saya dengan kepemimpinan di bawah Muhyiddin, akan memberikan sokongan penuh sebagai anak Negeri Sembilan untuk berjuang bersama Bersatu dalam PN," kata Ras Adiba yang dipetik portal itu.

Bekas penyampai berita itu juga mengakui sebelum ini dia adalah ahli Umno sehingga akhir tahun lalu tetapi memutuskan untuk menyertai Bersatu berikutan senario politik yang berubah.

Ras Adiba sebelum ini dilantik sebagai senator bagi mewakili golongan kurang upaya (OKU) pada Mei 2020 iaitu ketika pemerintahan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Mengulas lanjut, katanya, dia ingin membantu Bersatu dan PN dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan dalam memastikan PN dapat mengambil alih pemerintahan di Negeri Sembilan.

"Penyertaan saya dalam Bersatu bukan dengan tujuan untuk dicalonkan (dalam PRN) tetapi demi untuk perjuangan PN iaitu gabungan yang mampu membela nasib rakyat.

"Saya akan memberikan sokongan 500 peratus kepada sahabat dalam Bersatu untuk membantu memastikan PN dapat membentuk kerajaan negeri dalam PRN ini nanti," katanya.

Menurut portal itu lagi, pada majlis pelancaran jentera pilihan raya negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, malam tadi, turut menerima watikah keahlian Bersatu adalah bekas timbalan ketua Umno  Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz;  bekas ketua wanita PKR Negeri Sembilan, Azlimah Zamli dan bekas ketua cabang PKR Jelebu, Mazmi Ahmad Yusof turut menerima watikah mereka.

Hadir sama adalah Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan; Pengerusi PN Negeri Sembilan,  Ahmad Faizal Azumu; Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah.