Skip to main
Logo Malaysiakini

Ito kehilangan Karim lepas 50 tahun bersahabat

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pengasas yang juga pemain dram kumpulan Blues gang, Shaik Karim meninggal dunia di Hospital Ampang, Selangor pada jam 1.45 petang hari ini.

Vokalis Blues Gang, Ito Mohd berkata, Karim berada dalam keadaan koma sejak dua hari lalu.

“Allahyarham sudah lama ada masalah buah pinggang dan kencing manis. Selepas dibenarkan pulang, dia terjatuh dan kemudian dimasukkan semula ke hospital.

“Dia koma selama dua hari,” katanya ketika dihubungi.

Allahyarham menutup usianya pada 69 tahun.

Menurut Ito, 72, kali terakhir dia menghubungi arwah adalah sekitar minggu lalu.

“Dia terjatuh selepas sehari selepas saya hubungi dia melalui panggilan telefon. Kepalanya terhentak,” katanya.

Ito memberitahu, dia amat terasa dengan kehilangan Karim yang sudah dianggapnya ibarat adik-beradik sendiri.

Katanya, tahun ini adalah tahun ke-50 mereka menjalin persahabatan.

“Memang sedih sebab kami dah lama bersama sebagai anggota band. Jadi, hubungan itu dah macam adik-beradik.

“Dia juga antara anggota awal yang menubuhkan Blues Gang. Selepas ketiadaan Jim Madasamy dan Karim, Blues Gang kini hanya tinggal bertiga; saya, Julian Mokhtar (gitar) dan Ghani Abu Talib (keyboard),” katanya.

Jenazah diuruskan di Masjid Bukit Indah, Ampang dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg Batu 13, Cheras, Kajang.