Skip to main
Logo Malaysiakini

Awie pilih jalan berdamai demi hormati Amy

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Vokalis Wings, Awie, akhirnya melupakan perseteruan dia dengan Amy Search atas pertimbangan menghormati penyanyi rock itu yang lebih berusia daripadanya.

Kata Awie, dia ingin mengakhiri kemelut di antara mereka memandangkan dirinya juga sudah hampir meniti usia senja.

“Kami dah 'rujuk'. Alhamdulillah, saya rasa bulan ini bulan yang sangat mulia dan bulan memaafkan.

“Tiada apa (masalah) lagi dan saya pun tak nak fikir. Makin hari makin tua, makin hari makin kubur panggil," katanya.

Menurut Awie dia berjumpa dengan Amy dan mereka saling bersalaman, bermaaf-maafan dan berpeluk-pelukan sebagai adik dan abang serta kawan dan sahabat.

“Iyalah masing-masing ada ego sendiri. Lama-lama saya fikir saya tak nak biadab kepada orang yang lebih dewasa dan saya sayang dia sebagai abang, sebagai seorang pelopor rock.

“Dalam Malaysia tiada orang lain yang boleh dapat nombor satu kecuali Amy, kecuali Search,” katanya dipetik Harian Metro.

Hubungan dua penyanyi rock legenda itu mulai dingin sejak pemain dram Search, Allahyarham Yazit Ahmad, meninggal dunia pada 2019.

Konflik mula timbul selepas Amy mengakui terluka dengan komen Awie, antaranya mendakwa dia mengabaikan Yazit ketika sakit.

Kata Amy, tuduhan yang dilempar Awie itu tidak berasas selain dia hanya mendengar penjelasan sebelah pihak saja.

Awie menjelaskan ada individu tertentu mengutuskan seseorang untuk berjumpa dengannya bagi membincangkan mengenai perkara itu.

“Jadi cukuplah. Saya banyak terima kasih kepada pengaturnya dari Shiraz Entertainment. Pahalanya sangat besar,” kata Awie.

Bakal hadirkan Double Trouble

Penyanyi Semalam Yang Hangat itu mengakui dia mengambil masa beberapa minggu sebelum bersetuju berdamai, kerana tidak mahu dilabel bersikap kurang ajar terhadap Amy.

Katanya, dia takut dalam keadaan marah seseorang mungkin boleh bercakap yang bukan-bukan.

“Jadi saya fikir panjang. Apabila saya berjumpa dengan anak saya dan berbaik semula dengan bekas isteri, di situ saya rasa cukuplah.

“Zaman perang-perang bodoh-bodoh ini saya rasa nak buang. Saya tak nak. Di situlah apabila saya dapat peluk dan cium Putra Ahmad Rezzki, 15, dan Puteri Qasseh Antasha,13.

“Selepas itu mana kawan-kawan saya yang bergaduh dengan saya (kemudian) hubungi saya, dahlah kita lupakan dan berkawan semula. Beberapa orang pun yang menghubungi saya, saya cakap begitu," katanya.

Melalui perdamaian itu, Awie dan Search merancang pula untuk beraksi dalam Konsert Double Trouble yang akan direalisasikan tidak lama lagi.

Menurut Awie ia merupakan Double Trouble "yang sebenar".

“Ia satu benda yang dirancang bertaraf antarabangsa. Insya-Allah, kami nak jaga jenama itu,” katanya.